Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Promosi, sokong amalan penyusuan susu ibu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Melindungi, mempromosi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu adalah tindakan penting, bijak dan kos efektif yang terbukti boleh menjana generasi yang sihat, keluarga yang kukuh dan pembangunan yang mampan, sementelah asas kehidupan yang baik bermula dengan penyusuan susu ibu.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) menekankan perkara itu dalam perutusan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) Sedunia 2022 yang disambut 1 hingga 7 Ogos setiap tahun dan bertemakan ‘Tingkatkan Langkah untuk Penyusuan Susu Ibu’, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, Minggu PSI mengingatkan kepentingan nilai-nilai penyusuan susu ibu sebagai suatu amalan yang optimum daripada aspek pemakanan, kesihatan dan perkembangan anak damit dan kanak-kanak kecil.

    Tema ini menggariskan hubung kait antara penyusuan susu ibu dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), 2030. 

    Menurutnya lagi, penyusuan susu ibu adalah kunci kepada strategi pembangunan mampan pasca pandemik kerana amalan ini memperbaiki status pemakanan, memastikan sekuriti makanan dan mengurangkan ketidaksamaan di kalangan penduduk.

    Amalan penyusuan susu ibu juga memainkan peranan penting dalam menangani beban berganda kekurangan zat makanan. 

    Oleh itu, sistem sokongan penyusuan susu ibu yang terjejas disebabkan pandemik harus dipulihkan kepada tahap pra-pandemik demi mencapai sasaran pemakanan global pada tahun 2025, katanya.

    Beliau turut mendedahkan, kadar penyusuan susu ibu di negara ini telah terjejas daripada sasaran 50 peratus penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama umur anak damit sebabkan oleh pandemik COVID-19. 

    Berdasarkan pemerhatian, kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif telah menurun daripada 47 peratus pada tahun 2019 kepada 43 peratus pada tahun 2020 dan 45 peratus pada tahun 2021. Salah satu punca penurunan ketara kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan ini kemungkinan besar adalah berkaitan dengan pengurangan aktiviti-aktiviti ceramah kesihatan dan penyusuan susu ibu di semua fasiliti kesihatan semasa negara sedang menangani pandemik COVID-19.

    Sehubungan itu, beberapa pusat kesihatan akan mengadakan 10 sesi bengkel penyusuan susu ibu sempena Minggu PSI. Melalui bengkel-bengkel ini, Kementerian Kesihatan berharap untuk mengenal pasti dan bekerjasama dengan bakal ibu bapa bagi memperkukuhkan dan mengembang luaskan tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk meningkatkan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif termasuk langkah-langkah bagi mempengaruhi persekitaran yang boleh mempermudahkan penyusuan secara eksklusif sejak lahir sehingga enam bulan dan meneruskan penyusuan sehingga dua tahun, tambah Yang Berhormat Dato.

    Manakala menyentuh mengenai sambutan Minggu PSI tahun ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan ia akan menumpukan pengukuhan kapasiti individu dan pihak berkepentingan terutamanya dalam melindungi, mempromosi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu kepada pelbagai lapisan masyarakat.

    Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk rantaian sokongan ‘Warm Chain of Support’ untuk penyusuan susu ibu. Oleh yang demikian, cabaran-cabaran yang berkaitan dalam perihal melindungi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu pada beberapa peringkat iaitu nasional, sistem kesihatan, tempat kerja dan masyarakat perlu diteliti dan ditangani.

    Selain itu, PSI juga mengingatkan kita bahawa melindungi amalan penyusuan susu ibu adalah tanggungjawab bersama.

    Tiba masanya untuk kita memaklumkan, melibatkan, menetapkan dan menggerakkan tindakan-tindakan bagi melindungi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu yang akan memastikan kelangsungan hidup, status kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta keluarga mereka terjamin. Perkara ini adalah kunci bagi mencapai sasaran-sasaran yang telah dikenal pasti di dalam SDG 2030.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa di Brunei, Minggu PSI pada tahun ini akan menumpukan aktiviti mempromosi amalan penyusuan susu ibu termasuk melalui media massa, media cetak dan media sosial, di samping aktiviti pembelajaran berterusan bagi pihak terlibat.

    Ini adalah bertujuan untuk memperkasa dan memperkukuhkan kapasiti pihak berkepentingan termasuk kerajaan, sistem kesihatan, tempat kerja dan komuniti dalam menyediakan dan mengekalkan persekitaran mesra amalan penyusuan susu ibu di alam pasca pandemik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...