KIGALI, RWANDA, 2 JUN – Polis di Senegal menggunakan gas pemedih mata pada Khamis bagi menyuraikan protes ganas yang tercetus di ibu kota Dakar dan bandar-bandar lain selepas ketua pembangkang Ousmane Sonko dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana ‘mempengaruhi belia.’
Universiti Dakar bertukar menjadi medan perang, dengan kumpulan pemuda membaling batu ke arah polis yang bertindak balas melepaskan gas pemedih mata, menurut rakaman video.
Beberapa kenderaan di universiti itu dibakar, lapor agensi Anadolu.
Di beberapa bahagian ibu kota, kumpulan anak muda menyerang harta awam, membakar tayar dan memasang penghadang di jalan raya.
Portal berita tempatan, Seneweb.com, memetik sumber polis tanpa nama, berkata, tiga orang terbunuh dalam protes di selatan bandar Ziguinchor dan seorang anggota polis telah digantung di pinggir Dakar oleh pemuda yang marah.
Bantahan juga dilaporkan di Casamance, Mbour dan Kaolack.
Sonko, presiden parti PASTEF-Patriots, dituduh merogol dan membuat ugutan bunuh terhadap Adji Sarr, seorang pekerja salun kecantikan di ibu negara, pada 2021.
Hakim Mahkamah Tinggi di Dakar membebaskan Sonko daripada dua pertuduhan itu. – Bernama
