Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Pusat agihan bantu pelarian Ukraine

    LVIV, UKRAINE – Berdiri di antara kotak-kotak pakaian yang disumbangkan di barat Ukraine, Tatyana Kaftan menggenggam baju anak damit dan sepasang seluar damit pada baju jumper hijau yang melekap pada perutnya.

    Sedang mengandungkan anak pertamanya dengan tarikh bersalin tinggal tiga minggu lagi, dia tiba di bandar Lviv tiga hari lalu selepas melarikan diri daripada kempen pengeboman tentera Rusia dari tempat tinggalnya di kawasan selatan.

    “Kami meninggalkan segala-galanya di rumah,” beritahu ejen pelancongan berusia 35 tahun itu, yang mengadakan perjalanan bersama suaminya dari Mykolaiv di Laut Hitam.

    “Kami tidak membawa apa-apa.”

    Dalam pejabat pakar runding kewangan yang diubah menjadi pusat pengagihan bantuan di Lviv, dia dengan lembut bertanyakan seorang anggota sukarelawan sama ada mereka mempunyai barang mainan untuk anak lelakinya yang belum lahir.

    Suaminya, yang sedang menunggu untuk dikerah dalam perkhidmatan tentera, berdiri di sebelahnya.

    Serangan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari telah mencetuskan salah satu penghijrahan penduduk dan krisis kemanusiaan paling besar pernah dicatat, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Anggota sukarelawan bekerja di sebuah gudang yang menyimpan pakaian dan makanan yang disumbangkan kepada penduduk berpindah di barat bandar Lviv. – AFP
    Penduduk Ukraine yang kehilangan tempat tinggal beratur untuk mendaftarkan diri dengan pihak berkuasa di barat bandar Lviv. – AFP

    Yana dan anak perempuannya Maya, mencari pakaian dan barang mainan di sebuah pusat pengagihan bantuan di bandar Lviv, Ukraine. – AFP
    Katerina berdiri dalam sebuah pawagam yang diubah menjadi pusat pengagihan bantuan di Lviv. – AFP

    Peperangan itu menyebabkan lebih 10 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, dari dalam dan luar Ukraine.

    Populasi Lviv, bandar terbesar negara yang terletak berhampiran sempadan Poland, telah meningkat mendadak dalam beberapa minggu ini.

    Untuk membantu mereka yang telah meninggalkan rumah sehelai sepinggang, pusat pengagihan bantuan yang menawarkan pakaian, selimut, cadar, kasut dan barang mainan untuk kanak-kanak telah muncul di seluruh bandar.

    Di bawah petikan kata-kata motivasi yang ditampal di dinding, doktor pergigian Ukraine Yana memegang sehelai jaket jean di badan anak perempuannya yang berusia lima tahun, Maya, untuk melihat sama ada ia muat.

    Ibu kepada dua anak itu, yang tidak memberikan nama keduanya, berkata dia telah menghabiskan 12 hari di tingkat bawah tanah berlindung daripada pengeboman di bandar timur Kharkiv berdekatan sempadan Rusia, sebelum tentera Ukraine sempat mengatur konvoi bas dan kereta untuk memindah mereka pada awal Mac.

    Yana, yang mempunyai klinik pergigiannya sendiri di Kharkiv, berkata bekas pelanggan telah menawarkannya dan anak-anaknya tempat tinggal di Lviv.

    Namun dia menangis apabila menjelaskan ibu dan ibu mertuanya telah tinggal di belakang.

    Anggota sukarelawan Severyna Padovska berkata ratusan orang mengunjungi pusat setiap hari pada awal peperangan untuk mendapatkan pakaian, barang mainan, makanan anak damit dan juga lampin.

    Hari ini, jumlah tersebut telah berkurangan, namun pusat bantuan itu masih sibuk.

    Tidak jauh dari pusat bantuan, di luar bangunan pentadbiran, Natalia Ivachenko, 55 tahun, menggenggam fail merah yang mengandungi pasport dan dokumen lain untuk mendaftarkan namanya di bandar.

    Dia telah meninggalkan rumahnya di timur rantau Donetsk pada minggu lalu untuk menyertai anak perempuannya yang telah pun berada di Lviv.

    “Saya berjaya mendapatkan beberapa barang kepunyaan, tetapi ia merupakan barang pertama yang saya lihat, dan bukan apa yang saya perlukan,” kata pengurus pejabat pos, sambil ketawa pada dirinya.

    “Saya tidak membawa apa-apa untuk dipakai,” katanya, yang berpakaian dalam jaket kelabu dengan lapis warna merah muda.

    Di jalan raya yang memperlihatkan satu lagi barisan panjang, Katerina, 38 tahun, menunggu di luar sebuah pawagam yang mengagihkan pakaian dan barang mainan, anak lelakinya yang berusia enam tahun, Ilya memegang barang mainan panda di sebelahnya.

    Dia telah tiba di Lviv pada awal Mac bersama Ilya dan anak lelaki keduanya yang berusia 13 tahun dari bandar Dnipro, di kawasan tengah negara.

    “Apabila kami meninggalkan kampung halaman kami, anak lelaki saya membawa beg galas dengan peralatan, disebabkan dia seorang pengatur cara dan dia perlu belajar, dan saya hanya membawa beg galas yang diisi keperluan asas,” katanya, berpakaian dalam baju senam merah muda dan jaket besar.

    Di dalam pawagam yang diubahsuai semula, berdekatan gerai bertih jagung, dia memeriksa topi sakhlat beraneka warna dalam sebuah kotak di atas lantai.

    Ibu-ibu lain melihat pada kot, mundar-mandir melepasi poster lantai gergasi filem fantasi 2020 ‘Mulan’ ketika keluar.

    Di satu sudut, Ilya berkawan dengan seorang budak baharu, masing-masing bergilir-gilir berpura-pura bermain trompet mainan warna merah dan biru. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...