Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Honda labur hampir AS$40b teknologi EV

    TOKYO, 12 APRIL – Pengeluar kereta Jepun, Honda hari ini berkata ia akan melaburkan hampir AS$40 bilion untuk teknologi kereta elektrik (EV) bagi tempoh satu dekad akan datang ketika ia berusaha untuk mengalihkan semua jualannya dari kereta bahan api tradisional.

    Syarikat gergasi automotif itu semakin meningkatkan keutamaan kenderaan elektrik dan hibrid, dengan permintaan semakin berkembang bagi model yang kurang memberikan pencemaran ketika kebimbangan mengenai perubahan iklim semakin meluas.

    Honda berkata dalam kenyataan bahawa ia merancang untuk melancarkan 30 model EV menjelang 2030, dengan jumlah pengeluaran tahunan lebih daripada dua juta unit.

    Syarikat itu berkata ia akan memperuntukkan kira-kira AS$39.9 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang ‘dalam bidang teknologi pengelektrikan dan perisian untuk membangunkan lagi elektrifikasinya’.

    Pelaburan tersebut adalah langkah terkini dalam usahanya untuk menjadikan kereta elektrik dan sel bahan api menyumbang 100 peratus bagi keseluruhan penjualan menjelang 2040, sasaran yang diumumkan tahun lalu.

    Honda dan konglomerat teknologi Jepun, Sony bulan lalu mengumumkan mereka akan memulakan satu syarikat untuk membangunkan dan menjual EV, dengan penjualan model pertama EV dijangka bermula pada 2025. – AFP

    Presiden Honda, Toshihiro Mibe semasa bercakap mengenai perniagaan elektrifikasi automobil di ibu pejabat di Tokyo kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...