Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Rafak syukur ditemukan Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan umat Islam di negara ini mempunyai peluang amat luas untuk merebut fadilat Ramadan dengan keadaan negara aman dan ekonomi mantap yang membolehkan semua menghayati Ramadan dengan lebih selesa.

    “Ini adalah kurnia istimewa kepada kita dan negara, berbanding sesetengah tempat di dunia, mereka bergelut dengan pelbagai musibah seperti peperangan, gempa bumi, banjir besar yang menjejaskan harta benda dan nyawa.

    “Bayangkan bagaimana umat Islam lain berpuasa sambil menghadapi kemelut peperangan, musibah gempa dan banjir besar, kita cuma mampu membayangkan saja sambil bersimpati dan berdoa untuk mereka,” tekan Baginda dalam titah perutusan sempena menyambut awal bulan Ramadan bagi tahun 2023, malam ini.

    Baginda turut mengajak seluruh penduduk yang beragama Islam untuk sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah di atas limpah rahmatNya menemukan lagi dengan bulan Ramadan yang dalamnya terdapat satu malam yang baik daripada 1,000 bulan.

    Jutaan syukur kita rafakkan kepada Allah, titah Baginda, kerana ancaman koronavirus semakin berkurang dan sekatan juga dilonggarkan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena awal bulan Ramadan. – Gambar oleh Infofoto

    “Ini juga satu rahmat yang membolehkan kita dapat memeriahkan masjid dengan sembahyang fardu, bertadarus Al-Quran dan sembahyang Sunat Tarawih tanpa sekatan.

    “Seyogia rahmat itu jangan diabaikan untuk dapat meraih lebih banyak pahala. Pahala adalah rezeki hebat untuk dijawat di akhirat nanti,” nasihat Baginda lagi.

    Ramadan, titah Baginda lagi, adalah bulan istimewa yang menguji kesabaran untuk berpuasa selama sebulan di mana ganjaran beribadat dalam bulan Ramadan melebihi ganjaran beribadat di bulan-bulan lain.

    “Menurut sebuah hadis Nabi Muhammad SAW, satu fardu yang ditunaikan pada bulan Ramadan adalah umpama menunaikan 70 fardu pada bulan yang lain, demikian betapa hebatnya penghormatan Allah terhadap bulan Ramadan,” tekan Baginda.

    Oleh itu, Baginda berharap, semoga rahmat Allah ini akan berpanjangan untuk kita dapat menunaikan kewajipan berpuasa sebulan penuh dalam keadaan sihat afiat dan
    sejahtera.

    Selain berharap untuk mendapat Lailatulqadar yang penuh berkat, yang hanya berlaku pada bulan Ramadan sahaja dan untuk tujuan ini, adalah perlu mengikut panduan yang telah digariskan oleh ulama seperti menghidupkan 10 malam-malam terakhir pada bulan Ramadan dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

    “Mudah-mudahan Allah SWT tidak akan menghampakan kita daripada memperolehi pahala Lailatul-qadar itu.”

    Pada akhir titah perutusan, Baginda dan kerabat Baginda sukacita mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini, “semoga kita sama-sama dapat menunaikan kewajipan berpuasa tanpa sebarang halangan atau gangguan.”

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...