Raja Ilya mengaku jadi mangsa doktor palsu

Berita mengenai seorang lelaki maut selepas menerima rawatan estetik daripada pakar kecantikan tidak bertauliah mengundang pelbagai reaksi daripada warganet termasuklah selebriti, Raja Ilya.

Berkongsi pengalamannya sebelum ini, Raja Ilya, 36, mendedahkan dia juga pernah menjadi mangsa penipuan doktor estetik palsu hingga terpaksa menanggung kesan sampingan akibat rawatan yang diterima itu.

“Serius geram bila baca berita macam ni, banyak orang di luar sana yakin, berani nak mati buat prosedur rawatan estetik tanpa lesen dan sesetengahnya ambil lesen bawah meja (secara tidak sah).

“Memang teruk orang macam ni! Ini bukan kali pertama ada meninggal. Saya juga pernah jadi mangsa, terima kesan jangka panjang… perempuan yang menipu jadi doktor buat prosedur yang salah dan terus hilang.

“Ghaib entah ke mana! Seorang pelanggan VIP bergelar datin mati di bilik hotel sebabkan dia. Kejadian ini berlaku pada tahun 2006 hingga 2008,” katanya menerusi laman Instagram baru-baru ini.

Raja Ilya berkata rawatan serta pembedahan kosmetik yang dilakukan oleh doktor palsu ini boleh memberi kesan kepada pelanggan kerana mereka menggunakan bahan yang tidak disahkan oleh badan kesihatan.

Justeru itu, dia memohon pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan perniagaan ini.

“Ini satu penipuan terbesar! Mereka menggunakan bahan yang tak dibenarkan seperti minyak silikon dan banyak lagi. Mereka tiada kredibiliti sebagai pengamal perubatan estetik atau mereka tak ada kelayakan untuk buat pembedahan.

“Ini masanya untuk kita pandang serius isu ini kerana boleh memberi kesan sampingan seumur hidup, kecederaan dan kematian.

“Ini sesuatu yang memalukan. Saya merayu Jawatankuasa Amalan Perubatan Estetik Kebangsaan atau mana-mana jabatan lain yang berkaitan untuk mengambil tindakan dan menghentikan perbuatan ini,” tambahnya.- Agensi

Raja Ilya turut mendedahkan bahawa dia pernah menjadi mangsa penipuan doktor estetik palsu hingga terpaksa menanggung kesan sampingan akibat rawatan yang diterima.- Agensi