Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Rusia lancar satelit Iran ke orbit minggu depan

    TEHRAN, 4 OGOS – Rusia akan melancarkan satelit penderiaan jarak jauh Iran ke orbit Selasa depan, kedua-dua negara mengesahkan, dua minggu selepas Presiden Vladimir Putin melawat Tehran.

    “Dengan kerjasama Rusia, satelit Khayyam akan dilancarkan minggu depan dari stesen angkasa Baikonur di Kazakhstan oleh pengangkut satelit Soyuz,” kata agensi angkasa lepas Iran lewat kelmarin.

    Satelit itu, dinamakan sempena seorang pakar dari Parsi abad ke-11 hingga ke-12, Omar Khayyam, bertujuan untuk ‘memantau sempadan negara’, meningkatkan produktiviti pertanian dan memantau sumber air dan bencana alam, tambah agensi itu.

    Perbadanan Angkasa Negara Rusia, Roscosmos mengesahkan pelancaran itu dijadualkan pada Selasa.

    “Pada 9 Ogos 2022, roket Soyuz 2.1B dijadualkan dilancarkan dari Kosmodrom Baikonur… untuk meletakkan peranti penderiaan jarak jauh Khayyam yang ditempah oleh Republik Islam Iran ke orbit,” katanya dalam satu kenyataan.

    “Peranti Khayyam direka dan dikeluarkan di perusahaan yang merupakan sebahagian syarikat milik kerajaan, Roscosmos,” tambahnya.

    Berita mengenai pelancaran itu menyusuli lawatan Putin ke Iran pada 19 Julai, ketika dia bertemu Presiden Ebrahim Raisi dan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

    Khamenei menggesa untuk mengukuhkan ‘kerjasama jangka panjang’ dengan Rusia semasa rundingannya bersama Putin. Agensi berita negara Iran, IRNA berkata satelit itu mempunyai ketepatan pengimejan tinggi dan mampu merakam permukaan bumi dalam spektrum imej yang berbeza.

    Rusia meletakkan satelit itu ke angkasa tetapi ia akan dipandu dan dikawal dari stesen darat di Iran, tambah IRNA. Khayyam bukanlah satelit Iran pertama yang diletakkan ke angkasa lepas oleh Rusia. Pada Oktober 2005, satelit Sina-1 Iran, yang bertujuan untuk mengkaji dan memerhati bumi, telah dihantar dari kosmodrom Plesetsk Rusia. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...