Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sebutan lanjut kes pasangan dera kanak-kanak

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Kes membabitkan pasangan tempatan yang didakwa mendera kanak-kanak, dikaitkan dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, hari ini telah dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan lanjut kes tersebut.

    Lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu didakwa menyerang mangsa antara bulan Ogos dan bulan ini, ketika mangsa berada di bawah jagaan mereka.

    Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa siasatan lanjut masih dijalankan dan lebih banyak masa diperlukan sebelum meneruskan kes itu.

    Pihak pendakwaan juga mendedahkan kepada Majistret Kanan Harnita Zelda Skinner bahawa mangsa merupakan anak saudara defendan.

    Pihak pendakwaan seterusnya mendedahkan bahawa antara Ogos dan 17 September, ibu mangsa mengamanahkan pasangan suami isteri itu untuk menjaga mangsa.

    Daripada siasatan Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, pendakwaan mendedahkan bahawa pada 16 September, defendan membawa mangsa ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan Hospital RIPAS dan pada keesokan harinya, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital, sekali gus membawa kepada penahanan defendan.

    Pihak pendakwaan seterusnya memaklumkan kepada mahkamah bahawa punca kematian mangsa masih dalam siasatan.

    Majistret Kanan Harnita Zelda Skinner kemudian menangguhkan kes kepada 10 Oktober sementara siasatan polis dijalankan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi mewakili pendakwa raya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...