Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Selaras kurikulum pertanian sejajar program antarabangsa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Fakulti Pertanian Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru ditubuhkan pada 28 Januari 2021 dan ia dalam proses pembangunan di mana masa ini, ia sedang melaksanakan program Sains Pertanian dan bidang Perniagaan Tani di peringkat sarjana, sarjana muda dan PhD iaitu Bachelor of Science In Agriculture dan Agribusiness serta Master in Agribusiness by Research.

    Di samping itu, beberapa program sedang dalam proses untuk ditawarkan dan disenaraikan dalam perancangan strategik bagi jangka masa lima tahun akan datang iaitu agroteknologi, aquaculture, poultry culture, penternakan dan veterinar.

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika menjawab persoalan mengenai program pertanian UNISSA yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari semasa permesyuaratan MMN, kelmarin.

    “Kurikulum program-program yang disenaraikan di fakulti pertanian ini telah dirangka dengan melibatkan pakar-pakar dari luar negara pihak industri dan jabatan-jabatan berkenaan.

    “Usaha ini adalah bagi memastikan kurikulum adalah sejajar dengan amalan di peringkat antarabangsa dan akan dikemas kini secara berkala dan memastikan sejajar dengan keperluan industri dan ekonomi Negara Brunei Darussalam,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    Sementara itu, menjawab persoalan mengenai penyelarasan program-program agroteknologi yang dikendalikan oleh Institut Pendidikan Teknologi Brunei (IBTE), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan UNISSA serta jika lebih baik dikendalikan oleh sebuah sahaja universiti agro teknologi yang diketengahkan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa program-program yang ditawarkan oleh ketiga-tiga institusi berkenaan adalah berlainan peringkat iaitu dari peringkat 3 hingga 8 seperti mana dalam rangka kerja kelulusan Brunei Darussalam serta mempunyai berlainan fokus dan berbagai-bagai peringkat.

    Beliau menjelaskan lanjut, program UNISSA adalah lebih kepada pendekatan perniagaan pertanian Islam dan UTB pula adalah menjurus kepada sains dan teknologi pertanian dan agri makanan.

    “Kementerian Pendidikan akan sentiasa memantau agar tiada duplikasi dibuat di antara program-program pengajian yang ditawarkan di institusi tinggi awam di negara ini mengambil kira dari segi efficiency dalam perbelanjaan peruntukan perbelanjaan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Awang Iswandy turut mencadangkan jika pusat-pusat tuisyen dibenarkan untuk beroperasi dalam talian sahaja bagi yang ingin menjalankan operasi seperti itu tanpa perlu mempunyai premis-premis fizikal.

    Mengulas cadangan yang dikemukakan itu, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan dalam Penggal 210, sememangnya pendaftaran sesebuah institusi pendidikan swasta perlu memenuhi beberapa kriteria bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

    “Dengan adanya penularan pandemik COVID-19 ini, pembelajaran secara dalam talian digunakan untuk memastikan pembelajaran-pembelajaran masih dapat diteruskan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...