Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Semangat patriotisme membara

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Walaupun dalam keadaan negara kini melalui Fasa Awal Endemik, Negara Brunei Darussalam masih berpeluang meraikan Sambutan Hari Kebangsaan ke-38 dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan raja bijaksana dan dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Dengan sambutan dalam norma baharu, ia tidak mematikan semangat kira-kira 3,000 orang peserta yang berkumpul di ibu negara dari awal pagi lagi, untuk sama-sama menunjukkan taat setia, semangat patriotisme yang tinggi serta hormat kepada raja dan negara dalam Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan yang penuh gilang-gemilang, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, telah berkenan berangkat menghadiri upa-cara yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    Baginda Sultan kemudian dijunjung memeriksa pasukan perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sebelum berangkat semula ke pentas diraja.

    Baginda Sultan sekali lagi menerima hormat diraja diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, sebelum pasukan perbarisan kawalan kehormatan keluar dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Kemudian, Baginda Sultan serta anggota kerabat diraja menyaksikan upacara perbarisan lalu di hadapan pentas diraja yang melibatkan kira-kira 3,800 orang peserta terdiri daripada lapan kumpulan yang didahului oleh pembawa bendera Negara Brunei Darussalam berukuran besar diikuti oleh pasukan pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam berukuran sederhana dan bendera logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38, ABDB, PPDB, pasukan berpakaian seragam, kumpulan warga emas, kumpulan orang kelainan upaya, sektor awam dan swasta, sektor pendidikan, pergerakan awam, kumpulan kayuhan basikal serta in-line skates dan pasukan barisan hadapan COVID-19.

    Acara diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan telah diketuai oleh Awang Muhammad Abdul Wafi bin Haji Sofian yang disusuli dengan laungan sebanyak tiga kali, ‘Allahu Akbar’ oleh para peserta dan mereka yang hadir di upacara itu.

    Baginda Sultan serta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan persembahan bertajuk ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ di mana persembahan tema itu merupakan persembahan lagu-lagu patriotik beramai-ramai yang dipersembahkan oleh seramai 2,500 orang peserta termasuk 2,000 orang peserta terdiri daripada peserta yang terlibat dalam perbarisan lalu.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan menerima tabik hormat daripada peserta perarakan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-38.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menghadiri upacara Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-38 yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung berangkat bagi memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama pembaca ikrar.

    Lafaz ikrar Hari Kebangsaan diketuai Awang Muhammad Abdul Wafi.
    Orang ramai yang hadir semasa Sambutan Hari Kebangsaan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
    Antara persembahan udara yang dipamerkan pada upacara tersebut.

    Para peserta mengambil bahagian dalam upacara perbarisan lalu di hadapan Pentas Diraja.
    Sambutan Ulangtahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-38

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...