Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Situasi virus di sekolah terkawal

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Peringkat pertama sesi persekolahan tahun akademik 2022 di negara ini yang bermula 3 Januari lalu bermula baik apabila ujian-ujian saringan COVID-19 yang dijalankan hanya memberikan keputusan positif palsu (false) bagi saringan ujian pantas antigen (ART) ke atas para pelajar dalam masa dua minggu.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman mengongsikan rumusan hasil tinjauan dan pemantauan semasa sesi persekolahan peringkat pertama pembukaan institusi-institusi pendidikan pada Fasa Awal Endemik itu pada sidang media berkala jangkitan virus di negara ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    “Pada minggu pertama iaitu dari 3 Januari hingga 8 Januari, seramai 14,284 pelajar-pelajar Tahun 10 hingga 13 telah hadir ke sekolah secara fizikal dan menjalankan ujian saringan ART dengan dua kes false positive namun keputusan ujian PCR yang dijalankan adalah negatif,” jelas beliau.

    Manakala pada minggu kedua iaitu 10 Januari hingga hari ini (12 Januari), jumlah pelajar-pelajar yang telah menjalani ujian saringan ART adalah seramai 15,030 setakat 1 petang dan mendapati tiga kes false positive dan ujian PCR yang dilaksanakan adalah negatif, ujarnya.

    Menurutnya lagi, pemantauan yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan menunjukkan kelancaran SOP keselamatan dan proses ujian ART di sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat-pusat tingkatan enam.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato merakamkan penghargaan dan
    mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas komitmen tinggi para pemimpin sekolah dan tenaga-tenaga pengajar yang bertugas serta ibu bapa dan penjaga dalam memastikan keselamatan para pelajar dan warga sekolah, dan pematuhan SOP yang ditetapkan adalah sempurna diikuti.

    “Kerjasama dan sokongan padu para ibu bapa dan pihak-pihak berkepentingan memainkan peranan penting ke arah kelancaran pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar dalam sama-sama melindungi agar pembelajaran dan pengajaran secara fizikal ini dapat dijalankan secara berterusan dalam keadaan yang selamat dan teratur,” kata Yang Berhormat Dato di hujung kenyataannya.

    Gambar fail pelajar menjalani ujian ART pada hari pertama persekolahan minggu lalu. Ada beberapa ujian tersebut yang memberikan keputusan positif palsu, menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...