Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Skim bimbingan mantapkan pengetahuan tentang Islam

    Oleh Yusrin Junaidi

    Pusat Dakwah Islamiah (PDI) mempunyai matlamat untuk menyebar luas dan memantapkan ajaran serta penghayatan beragama kepada rakyat dan penduduk negara ini.

    Ini juga tidak terkecuali dalam kalangan saudara-saudara baharu bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan mereka tentang agama Islam serta isinya amnya.

    Antara inisiatif yang dijalankan oleh PDI termasuk menganjurkan Program Mualaf Mantap dan Skim Bimbingan Mualaf, yang diadakan buat julung kalinya dan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf).

    PDI juga meraikan para peserta program dan skim berkenaan dengan sebuah majlis tamat pengajian telah diadakan baru-baru ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di mana seramai 151 orang peserta yang terdiri daripada mualaf di negara ini telah menerima sijil setelah berjaya mengikuti program dan skim bimbingan yang telah ditawarkan pada tahun ini.

    Majlis tersebut diadakan adakan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan mualaf.

    Antara peserta yang menerima sijil setelah menamatkan skim bimbingan tersebut.
    Awang Airolvin Furqan ketika ditemu bual Media Permata.
    Dayang Nurtasha merasa sangat bersyukur atas peluang yang diberikan untuk meningkatkan ilmu mengenai Islam.
    Program skim bimbingan yang diadakan secara dalam talian ketika penularan pandemik COVID-19.

    Program Mualaf Mantap

    Program Mualaf Mantap ini telah berjalan selama setahun bermula pada 14 November 2021 dan dikendalikan secara dalam talian dan hibrid.

    Seramai 37 orang peserta yang terdiri daripada 11 orang peserta lelaki dan 26 peserta perempuan daripada kalangan belia-belia mualaf tempatan dan mualaf yang bermastautin di negara ini serta seorang peserta bukan Islam telah menyertai program tersebut.

    Skim bimbingan mualaf

    Skim itu merupakan aktiviti tahunan Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Muallaf) yang ditawarkan di PDI yang disediakan khusus bagi golongan mualaf untuk mengikuti bimbingan secara berperingkat-peringkat iaitu sebanyak empat peringkat setiap tahun.

    Peringkat pertama dimulai dengan Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (peringkat kedua), Skim Bimbingan Lanjutan I (peringkat ketiga) dan Skim Bimbingan Lanjutan II (peringkat keempat).

    Kesemua skim bimbingan ini telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara dan ia bertujuan memudahkan para mualaf untuk menghadiri skim-skim bimbingan mengikut daerah masing-masing dan diungkayahkan dengan kerjasama Pejabat Unit Dakwah di daerah-daerah dengan sokongan daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

    Sasaran peserta penerima sijil adalah bagi mualaf yang telah mengikuti dan menamatkan Skim Bimbingan Lanjutan II pada tahun ini.

    Seramai 114 orang peserta telah berjaya dan tamat mengikuti Skim Bimbingan Mualaf Lanjutan II yang telah ditawarkan tahun ini.

    Antara pengisian bagi skim bimbingan tersebut merangkumi bimbingan fardu ‘ain dari aspek syariah, akidah dan akhlak dan bimbingan fardu kifayah.

    Menyuntik semangat

    Dengan terlaksananya majlis tersebut diharap akan dapat menyuntik lagi semangat golongan mualaf di negara ini untuk merebut peluang mengikuti program-program dan skim-skim bimbingan mualaf yang ditawarkan oleh PDI di masa akan datang. Ia juga diharap dengan harapan segala ilmu pengetahuan yang telah dipelajari akan dapat meningkatkan lagi kefahaman dalam ilmu agama terutama dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak.

    Menurut Awang Airolvin Furqan bin Sisir, salah seorang penerima sijil program itu berkata, beliau menyertai skim tersebut adalah untuk mencari bimbingan dan pendedahan dalam meningkatkan dan menghalusi ilmu pengetahuan Islam secara berterusan.

    Beliau masuk agama Islam pada 2018 dan kemudian aktif menyertai skim anjuran PDI pada tahun 2019 seperti kursus lanjutan. Sepanjang mengikut kursus tersebut, banyak ilmu yang beliau dipelajari daripada segi mendalami pengetahuan agama Islam, menghalusi bacaan dan sembahyang serta beberapa perkara yang penting sebagai seorang yang beragama Islam.

    “Walau ia agak susah dari segi memahami Jawi, namun kami dibimbing oleh tenaga pengajar yang terlibat dengan menggunakan Bahasa Melayu secara berperingkat.

    “Sepanjang kursus ini juga kami menyertai pelbagai aktiviti seperti mempelajari solat sunat terawih, praktikal penyembelihan dan ini antara aktiviti yang sangat menyeronokkan,” kongsi beliau. Sementara itu, Dayang Nurtasha binti Abdullah, salah seorang peserta, berkata program yang disertai telah banyak memberi manfaat kepada peserta dalam menambah ilmu seperti ilmu fardu ain, belajar mengaji, belajar perkara yang halal dan haram dan banyak lagi.

    Kerohanian

    PDI akan sentiasa membimbing saudara baru dan memastikan mereka tetap terus dipeduli termasuk dengan menyediakan kelas-kelas bimbingan mualaf seperti kelas belajar Iqra’ dan membaca Al-Quran.

    Dari segi kerohanian, para peserta juga menyertai sesi tazkirah mengenai solat, agar khusyuk dalam menunaikan solat dan mendengarkan tentang sejarah-sejarah para nabi, sahabat, dan sejarah Islam secara amnya.

    Usaha PDI

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman meluahkan rasa penghargaan terhadap usaha PDI untuk mengetengahkan golongan mualaf.

    Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) juga menyambut baik usaha PDI meluaskan pendekatannya dalam memantapkan saudara-saudara baharu dengan pendekatan secara aktiviti kebeliaan seperti Belia Mualaf Assysyahadah dan acara keusahawanan menerusi program Muallafpreneurs yang telah menganjurkan Souq Al-Qudwah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...