WASHINGTON, 11 MEI – SpaceX kelmarin mengesahkan ia menandatangani kontrak untuk melancarkan stesen angkasa komersial pertama di dunia.
Syarikat berkenaan turut akan melakukan penerbangan angkasa lepas dikendalikan manusia sejurus selepas melancarkan stesen itu ke orbit selewat-lewatnya Ogos 2025, lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan SpaceX.
Stesen angkasa Haven-1 sedang dibangunkan oleh Vast, sebuah syarikat aeroangkasa persendirian berpangkalan di Long Beach, California.
“Misinya adalah untuk menyumbang kepada masa depan yang berbilion manusia hidup dan berkembang maju di angkasa, masa depan populasi manusia dan sumber kita berkembang jauh melebihi imaginasi semasa kita,” menurut kenyataan itu.
Vast dibiayai sepenuhnya oleh bilionair yang juga pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Jed McCaleb. SpaceX akan menggunakan roket Falcon 9 untuk membawa stesen Haven-1 ke orbit. – Bernama
