Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Syarikat Jepun sasar pasaran halal di M’sia

    KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Syarikat Jepun menyasar untuk menembusi lebih jauh ke dalam pasaran halal di Malaysia bagi mengembangkan lagi pasaran produk makanannya dan meneroka peluang dalam pengeluaran makanan dan bahan makanan Jepun.  

    Penyelaras projek Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur, Lim Yen Yi berkata syarikat Jepun menyasar peluang perniagaan untuk memasuki pasaran halal termasuk mengeksport dari Jepun, pembuatan atau Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) bagi membekalkan produk jenama Jepun diperakui halal di Malaysia.

    “Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) edisi ke-18 menjana minat yang amat besar terhadap produk makanan Jepun diperakui halal dengan ramai pembeli mencari bahan makanan Jepun. 

    “Berbanding MIHAS 2019 yang turut disertai Jetro, minat yang ditunjukkan pada tahun ini sangat memberangsangkan. Jetro tidak menyertai MIHAS 2021 kerana ia diadakan secara format hibrid maya dan pada 2020 pameran perdagangan itu tidak diadakan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini. 

    Lim berkata permintaan pasaran terhadap makanan Jepun semakin meningkat di negara ini.

    Menurutnya, walaupun beberapa pengimport dan pengedar makanan di Malaysia menyatakan sasaran utama produk makanan Jepun adalah kepada golongan kelas atasan namun beliau merasakan perlu untuk memberi tumpuan juga kepada kelas pertengahan terutamanya pelanggan berbangsa Melayu yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, untuk mengembangkan lagi pasarannya.

    “Pembeli sedia ada dan yang baharu, terutamanya pengimport, pengedar dan pengeluar berminat terhadap jenama terkemuka Jepun seperti sos perasa Halal Dashi Imuraya Start-up Planning dan serbuk matcha Kyoeiseicha untuk dibekalkan kepada restoran serta membuat produk seperti mi, biskut, minuman dan lain-lain,” katanya. 

    Lim berkata pembeli juga mencari makanan ringan, kuih muih serta serbuk perasa halal Jepun untuk dibekalkan ke gedung runcit, kedai serbaneka, penjual e-dagang dan restoran. – Bernama

    Penolong Pengarah Urusan Jetro KL, Manabu Saito (kiri) dan Lim Yen Yi semasa mempromosi produk dan ramuan makanan Jepun yang diperakui halal pada pameran MIHAS 2022 baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...