Sunday, April 28, 2024
25.7 C
Brunei

    -

    Tadabbur Al-Quran serikan Ramadan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Badan Sukarelawan Belia Daie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah meneruskan Program Siri Tadabbur Al-Quran (STQ) 7.0 bagi minggu kedua di Dewan Serba Guna, PDI, baru-baru ini.

    Program kali ini mengetengahkan tajuk Hadapi Rintangan dengan Tenang, petikan dari Surah At-Taghabun ayat 11 hingga 13 yang disampaikan oleh Penolong Profesor Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya.

    Antara pengisian tadabbur, dari surah At-Taghabun ayat 11 mengingatkan bahawa barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan petunjuk dalam hatinya untuk menghadapi segala musibah yang berlaku pada dirinya dengan tenang.

    Dr Hajah Sarinah mengongsikan betapa pentingnya mentaati Allah dan Rasulullah SAW.

    Beliau menambah bahawa hanya kepada Allah sahaja kita bertawakal dan berserah diri untuk menghadapi musibah dengan tenang.

    Dr Hajah Sarinah mengetengahkan tajuk Hadapi Rintangan dengan Tenang semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA
    Antara yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

    Seterusnya, program diikuti dengan segmen khas iaitu sesi perkongsian Cinta Al-Quran yang disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Belia Mualaf As-Syahadah, Dayang Nur Samzaida Munawwarah binti Abdullah Sambut @ Samzaida binti Sambut.

    Beliau mengongsikan kisah bagaimana beliau mendapat hidayah memeluk agama Islam setelah menghadiri sebuah majlis ilmu tentang Al-Quran dan ia memberikan kesedaran kepada beliau untuk terbuka membaca Al-Quran secara mendalam dengan hati dan fikiran, bukan sekadar dengan mata dan akal sahaja.

    Katanya, musibah adalah satu ujian yang menguji rasa syukur manusia dan kita mesti percaya bahawa Allah sentiasa di sisi kita untuk menghadapi rintangan dengan lebih tenang.

    Sambutan orang ramai terhadap program berkenaan adalah amat menggalakkan di mana seramai 56 orang telah menghadirinya yang terdiri daripada kalangan Asatizah NBD, pegawai-pegawai kerajaan, warga perkhidmatan kerajaan yang telah bersara, para belia termasuk NGO, mahasiswa dan mahasiswi universiti, alumni-alumni Akademi Dakwah dan juga orang persendirian.

    Program berkenaan akan diteruskan lagi pada 1 April bersama penceramah jemputan dan tetamu undangan khas yang lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...