Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Taklimat berigakan sistem E-Undi PMKK

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 11 JAN – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Daerah Tutong pada hari ini telah mengadakan taklimat pemberigaan ‘Sistem dan Aplikasi Mudah Alih E-Undi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK)’ yang diadakan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan petang.

    Sesi taklimat yang berlangsung pada pagi tadi adalah khusus bagi ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) di bawah Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam, Mukim Tanjong Maya dan Mukim Ukong. Manakala sesi petang khusus bagi ahli-ahli MPMK di bawah Mukim Telisai, Mukim Lamunin, Mukim Rambai dan Mukim Kiudang di mana kedua-dua sesi taklimat pemberigaan tersebut diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.

    Sesi taklimat tersebut dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin disusuli dengan taklimat mengenai ‘Sistem dan Aplikasi Mudah Alih E-Undi PMKK’ yang disampaikan oleh Dayang Jaimah binti Tuah selaku Ketua Bahagian Kuasa-kuasa Tempatan dan Perpaduan (Daerah), KHEDN.

    Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ahli Majlis Perundingan Mukim Kiudang, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong Taklimat diadakan bertujuan menyebarluaskan lagi maklumat mengenai sistem dan aplikasi mudah alih E-Undi PMKK kepada penduduk-penduduk kampung melalui ahli-ahli MPMK sebagai kesinambungan kepada sesi taklimat yang telah diadakan sebelum ini secara maya kepada penghulu mukim, ketua kampung dan pemangku ketua kampung.

    Sementara itu, Sistem E-Undi PMKK ini dibangunkan bertujuan sebagai penambahbaikan proses pengundian dan pemilihan calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung dengan menggunakan sistem pengundian secara elektronik sebagai alternatif tambahan kepada kaedah yang sedia ada menggunakan kaedah konvensional (manual).

    Dayang Jaimah semasa menyampaikan taklimat sistem E-Undi PMKK kelmarin.
    Antara yang hadir pada sesi taklimat sebelah pagi di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.

    Pembangunan sistem pengundian ini telah mengambil kira proses pengundian, prosedur pembuangan serta pengiraan undi semasa majlis pengundian dan pemilihan calon penghulu mukim dan ketua kampung yang pada masa ini dilaksanakan secara manual. 

    Sistem ini mempunyai tiga tatacara pengundian iaitu menggunakan aplikasi mudah alih E-Undi (online voting), tablet (offline voting) dan kertas undi (ballot papers) di mana hasil pengundian disimpan di dalam sistem komputer untuk proses penganalisaan dan mengeluarkan keputusan dengan lebih efisien dan cepat.

    Dengan adanya sesi taklimat mengenai sistem E-Undi PMKK ini, adalah diharapkan penduduk-penduduk kampung dapat mengetahui lebih lanjut mengenai tatacara alternatif tambahan dan seterusnya memanfaatkan kaedah pengundian yang diperkenalkan untuk memilih calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung masing-masing yang telah dibukakan pengundiannya.

    Bagi tujuan pendaftaran, penduduk-penduduk kampung bolehlah mendaftar sebagai pengundi dengan memuat turun dari App Store atau Google Play. 

    Aplikasi mudah alih E-Undi PMKK ini boleh diakses menggunakan akaun e-Darussalam.

    Pendaftaran ini dibukakan sepanjang masa di mana senarai pengundi yang berdaftar akan disemak setiap tiga bulan bagi memastikan kelayakan sebagai pengundi. 

    Sementara itu, pengundi yang telah mendaftar yang berpindah rumah diperlukan untuk mengemas kini dan mendaftar alamat rumah baharu di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan seterusnya mendaftar semula sebagai pengundi di kampung baharunya. 

    Pendaftaran pengundi masing-masing bagi sistem E-Undi menggunakan aplikasi mudah alih (online voting) dan pengundian menggunakan tablet (offline voting) akan ditutup 24 jam sebelum tarikh pengundian dan pemilihan calon-calon penghulu mukim dan ketua kampung bermula. 

    Manakala bagi pengundian menggunakan kertas undi (ballot papers), pendaftaran adalah dibuka sehingga pengundian ditutup (iaitu pada hari terakhir mengundi) sepertimana yang berjalan sebelum ini. Tarikh pengundian calon penghulu mukim dan ketua kampung akan dimaklumkan kemudian di mana maklumat berkenaan boleh diperoleh melalui makluman di dalam aplikasi mudah alih berkenaan dan juga surat pemberitahuan yang akan dikeluarkan oleh jabatan-jabatan daerah. 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...