Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Taman luncur pertama di Libya

    TRIPOLI – Sebuah bandar di Libya, Tripoli amat terkenal dengan seni bina masjidnya dan beberapa lagi bangunan dengan reka bentuk yang unik serta diiktiraf sebagai sebuah bandar yang mempunyai reka bentuk unik selepas Kaherah.

    Namun, baru-baru ini sebuah kemudahan telah dibangunkan iaitu taman luncur pertama sejak bandar tersebut berdepan dengan pelbagai konflik.

    Mohamed Abderraouf dari Libya melompat ke atas papan selajunya dan berseronok di taman luncur Tripoli yang baharu, ia adalah sebuah taman luncur pertama yang dibina di bandar tersebut, bagaikan tempat rehat dan beriadah yang dialu-alukan di bandar yang hanya memiliki kemudahan yang sedikit untuk para remaja.

    “Saya tidak dapat menjelaskan keseronokan tersebut,” kata pemain papan selaju berusia 18 tahun itu, yang hanya dapat berlatih di selekoh jalan sehingga saat ini selepas membeli papan selaju pertamanya pada tahun 2020. “Saya akan datang beberapa kali dalam seminggu,” tambahnya.

    Pemain-pemain papan luncur remaja menghabiskan waktu petang mereka dengan meluncur dan merakamkan gambar bersama rakan-rakan mereka di kemudahan terbuka percuma tersebut yang dibuka pada hujung minggu.

    Pemain papan selaju menunjukkan aksi mereka semasa majlis perasmian taman tersebut. – AFP

    Rombongan rakyat Libya membuat persembahan semasa perasmian taman skate pertama tersebut. Taman tersebut dibiayai oleh kedutaan AS di Tripoli dan dibina oleh Make Life Skate Life dengan sumbangan sukarelawan dari seluruh dunia. – AFP

    Salah seorang pemain papan selaju, berusia 18 tahun yang mulai aktif dalam sukan tersebut, Rayan al-Omar, mengongsikan bahawa dia berasa gembira kerana sebelum ini bandar tersebut tidak mempunyai tempat khusus yang disediakan untuk meluncur papan selaju.

    Sebuah kemudahan yang dibiayai oleh kedutaan Amerika Syarikat (AS) telah dibangunkan oleh Make Life Skate Life, sebuah persatuan amal yang membina taman luncur untuk komuniti tanpa bayaran dikenakan di Iraq, Bolivia dan India.

    Sementara itu, Wade Trevean dari Australia, yang telah mereka bentuk tapak Tripoli berukuran 800 meter persegi itu berkata bahawa beberapa sukarelawan datang dari seluruh negara untuk membantu membina taman berkenaan. Ia adalah satu proses yang memakan masa hampir enam minggu untuk menyiapkannya.

    Menurut Trevean, para sukarelawan berkenaan berasal dari New York, Belgium, Jerman ataupun Australia. Pembinaannya membawa kegembiraan dan persekitaran positif di bandar tersebut, sesuatu yang sangat menakjubkan.

    Dibina atas pangkalan pengawal peribadi Kadhafi

    Selain daripada mereka, pemain papan selaju tempatan juga berperanan penting dalam projek berkenaan, manakala sebahagian dari taman tepi pantai termasuk laluan berbasikal dan padang bola sepak juga adalah sebahagian daripada projek tersebut. Selebihnya dari kompleks itu telah pun siap dibina sejak setahun di bekas tapak ‘Amazon’, yang merupakan pangkalan pengawal peribadi wanita pemerintah Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi dan dilihat sebagai salah satu simbol kemewahan semasa pemerintahannya.

    Sejak peristiwa dia digulingkan dan dibunuh dalam pemberontakan tahun 2011, Tripoli telah berdepan dengan pelbagai keganasan berulang kali yang menyebabkan beberapa sumber dimiliki oleh bandar tersebut ditukar menjadi kemudahan riadah dan kebudayaan, hampir musnah di bawah pemerintahan Gaddafi.

    Hampir dua tahun sejak peperangan tersebut berlalu, kini ia menjadi tarikah ramai semula selepas pembukaan taman luncur di bandar berkenaan.

    Ia membolehkan kebanyakan pemain papan selaju remaja dari Libya, berkeinginan untuk kembali menjalani hidup normal seperti remaja-remaja di negara lain.

    Projek sedemikian mungkin sesuatu yang mustahil untuk dilakukan sehinggalah baru-baru ini, menurut Abderraouf, sambil meluahkan rasa syukur kepada tuhan bahawa taman luncur tersebut telah berjaya dibina di bandar Tripoli.

    Bagi pertubuhan Make Life Skate Life, matlamat pembinaan taman tersebut adalah bagi menyediakan persekitaran yang selamat untuk komuniti, di mana pelbagai individu dengan latar belakang yang berbeza dapat berkumpul dan mengeratkan silaturahim serta berinteraksi secara positif dengan cara bermain bersama, jelas pertubuhan tersebut.

    Selain daripada menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan, taman tersebut juga dihasratkan dapat memberikan kehidupan yang lebih sihat, aktif, penglibatan ramai dan menjadi pilihan masyarakat untuk beriadah, tambah pertubuhan itu.

    Sementara itu, mereka juga mengongsikan bahawa akan mengadakan kelas meluncur setiap minggu secara percuma untuk 60 orang perempuan dan lelaki, yang akan dibahagikan sama rata, termasuk mereka yang tidak mahir meluncur, akan disediakan dengan papan selaju dan alat pelindung diri.

    Tambahan lagi, Trevean, memuji tujuan baik dari pembinaan taman luncur tersebut kepada masyakarat.

    “Ramai orang datang untuk bermain papan selaju tetapi ia juga menjadi tempat untuk beriadah, bertukar pandangan, berbual dengan kawan-kawan, berjumpa dengan orang baharu,” katanya.

    “Saya tahu kebaikan yang boleh diperoleh menerusi taman luncur tersebut, dan saya benar-benar percaya dengannya,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...