Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tekankan hubungan kukuh bersama Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang amat kukuh serta terus dipertingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk kebudayaan dan ekonomi.

    Kedua-dua buah negara juga menikmati hubungan dua hala yang amat erat dalam bidang pendidikan, pertahanan dan penjagaan kesihatan dengan hasrat untuk mengembangkan lagi kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan bagi manfaat kedua-dua buah negara.

    Perkara itu dijelaskan oleh Dekan Kor Diplomatik dan juga Duta Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari dalam temu bual bersama Media Permata pada Majlis Ramah Mesra Kor Diplomatik bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

    Hubungan yang erat dalam pelbagai bidang turut ditekankan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona yang berpendapat, kedua-dua buah negara mempunyai hubungan persahabatan yang mesra, saling memberikan sokongan di dalam pelbagai forum dan minat mendalam untuk mengembangkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang kerjasama yang meluas.

    Beliau menyatakan lagi bahawa Brunei merupakan sebuah negara yang aman dan makmur serta mempunyai komuniti warga Bangladesh yang besar di mana mereka berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk bidang kemahiran tinggi.

    PYT Shumona menyatakan harapan bagi kedua-dua buah negara untuk meneroka pelbagai peluang kerjasama termasuk dalam bidang pertanian dan ekonomi biru.

    Oleh itu, PYT Shumona menyembahkan penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan dan kerajaan Baginda kerana semasa pandemik COVID-19, kerajaan Baginda telah menawarkan pelbagai bantuan kepada komuniti warga Bangladesh termasuk vaksin percuma dan rawatan percuma semasa mereka dijangkiti COVID-19.

    “Kami berharap pada tahun-tahun akan datang, akan ada lebih banyak kerjasama dalam pelbagai sektor terutamanya dalam menubuhkan hubungan dalam bidang pertahanan, pertanian dan pendidikan,” katanya.

    Beliau turut menyatakan harapan untuk menjalin kerjasama dalam sektor ekonomi biru dan telah berjaya mengadakan beberapa siri mesyuarat secara maya antara Kementerian Pertanian Bangladesh dengan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan matlamat untuk mengembangkan lagi kerjasama dalam bidang pertanian.

    Turut menekankan hubungan dua hala yang erat ialah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland yang menyatakan, hubungan itu terus diperkukuhkan serta amat gembira kerana Baginda Sultan telah
    berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Istimewa ASEAN-AS yang berlangsung di AS, baru-baru ini.

    Manakala itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe berkata, Baginda Sultan selaku pemimpin yang dihormati di rantau ASEAN memainkan peranan yang kritikal dalam membangunkan rantau ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman dan makmur.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...