Saturday, December 2, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Tengku Permaisuri Selangor kecewa individu kejam terhadap haiwan

    SHAH ALAM, 19 MEI – Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan perasaan sangat kecewa berikutan masih ada individu yang tidak berperikemanusiaan dan tergamak berlaku kejam terhadap haiwan secara terbuka.

    Baginda yang merupakan Penaung Diraja Program Stray Free Selangor (SFS) menzahirkan perasaan sedih dan dukacita susulan beberapa kejadian terbaharu yang membabitkan kezaliman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar.

    Susulan itu, Tengku Permaisuri Selangor menggesa agar pihak berwajib melakukan siasatan sehingga pelakunya dapat dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

    “Masyarakat yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian seumpamanya supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa,” titah Tengku Permaisuri Norashikin menerusi kiriman di akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office, hari ini. 

    Baginda juga turut mengingatkan bahawa kezaliman terhadap haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan beberapa seksyen khusus iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan) dan Seksyen 31 (pemberian racun).

    Susulan itu, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar ahli masyarakat agar lebih prihatin, mempunyai perasaan belas kasihan dan terus menyemai sifat empati dan perikemanusiaan serta sayangkan haiwan peliharaan dan terbiar.

    Permaisuri Selangor juga berharap kebajikan haiwan-haiwan itu sentiasa diberi perhatian terutamanya keperluan persekitaran yang sesuai, dilindungi daripada ancaman penyakit serta keperluan mempamerkan corak kelakuan semula jadi.

    “Masyarakat dan para sukarelawan penyelamat haiwan juga perlu untuk memandulkan kucing dan anjing terbiar agar haiwan ini tidak membiak dalam persekitaran yang tidak sesuai,” titah baginda. – Bernama

    Gambar bertarikh 14 Mei menunjukkan Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Mewah PVRTM dan penyampaian sumbangan Hari Raya. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...