Oleh Azlan Othman
KUCHING, 12 OGOS – Briged Infantri Kesembilan Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup 116 karton bir bernilai RM90,000 ke Negara Brunei Darussalam di sebuah jeti di Kampung Sibukang, Limbang pada 10 Ogos lalu.
Menurut Divisyen Pertama Infantri dalam satu kenyataan, lima suspek terdiri daripada dua lelaki warga Brunei, dua lelaki dan seorang wanita warga Malaysia berusia antara 24 dan 53 tahun ditahan sekitar jam 2:30 pagi Rabu, lapor Borneo Post.
Suspek dikesan dalam sebuah van yang diletakkan di jeti berkenaan.
Anggota Briged Infantri Kesembilan menjalankan pemeriksaan ke atas van dan suspek telah menemui karton minuman keras di dalam kenderaan itu, tambah kenyataan itu.
Tentera juga merampas van yang dianggarkan bernilai RM30,000. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang.
Divisyen Infantri Pertama berkata ia akan terus memantau dan mengetatkan kawalan keselamatan untuk melindungi negara daripada kemasukan haram pendatang dan aktiviti jenayah rentas sempadan.
