Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tentera Perancis berundur dari Mali

    PARIS, 14 JUN – Perancis mula mengundurkan tenteranya dari Mali dengan menyerahkan pangkalan Menaka kepada pihak berkuasa negara itu, lapor agensi Anadolu.

    “Penyerahan kuasa dilakukan secara teratur, selamat dan telus. Operasi Barkhane itu menyediakan kawalan keselamatan di wilayah Tiga Sempadan dan Liptako Selatan,” menurut catatan kakitangan am pertahanan dalam laman Twitter.

    Pengunduran itu adalah sebahagian kerangka kerja yang ditetapkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menurut satu kenyataan dari Kementerian Pertahanan.

    Perancis telah mengerahkan kira-kira 4,600 tentera di bawah Operasi Barkhane yang dilancarkan pada 2014 bagi memerangi keganasan di negara Kumpulan Lima (G5) iaitu Mali, Nigeria, Burkina Faso, Chad dan Mauritania.

    Tentera Perancis kini sedang memindahkan logistiknya dari Menaka ke Pangkalan Udara Unjuran (BAP) Niamey di Nigeria dan akan meneruskan operasi antikeganasan di wilayah Sahel.

    Tentera Perancis telah melabur beberapa juta euro dalam projek pembangunan infrastruktur penting melibatkan pendidikan, belia dan kesihatan penduduk tempatan yang menyokong Pasukan Barkhane untuk menjalankan operasi itu.

    Pada April lalu, selepas tentera Perancis menyerahkan pangkalan tentera di Gossi, tentera Mali menuduh Perancis menyembunyikan ‘kubur besar’ di premis itu.

    Perancis walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

    Kerajaan Mali pada Mei telah membatalkan perjanjian kerjasama pertahanan yang mengawal status anggota pasukan Perancis (SOFA) serta mengarahkan pasukan tentera itu dan tentera Eropah di bawah Takuba meninggalkan negara berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...