Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Tingkatkan kewaspadaan semasa cuaca aktif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Negara Brunei Darussalam masih berada dalam monsun timur laut di mana keadaan cuaca aktif selalunya berlaku pada waktu petang dan malam hingga ke awal pagi dengan negara akan beralih kepada monsun peralihan bermula April.

    Semasa tempoh monsun peralihan ini, keadaan cuaca negara pada amnya cenderung panas pada waktu siang, manakala kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.

    Kejadian ribut petir, kadangkala lebat dan berangin kencang boleh berlaku dan terdapat risiko banjir kilat atau banjir semasa tempoh monsun peralihan.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula esok hingga 21 Mac disebabkan pembentukan awan hujan yang aktif di kawasan negara.

    Kenyataan menambah bahawa hujan dan hujan berpetir sekali-sekala dijangka berlaku dengan angin kencang meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat atau hujan berpetir.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah 1m.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih sejam dan semasa kejadian air pasang.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...