Wednesday, May 8, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    Tuju kurus bukan sebab bahan terlarang

    Perubahan pada penampilan penyanyi Malaysia, Tuju yang dilihat semakin kurus membuatkan ada yang beranggapan beliau mengambil bahan terlarang.

    Memetik laporan mStar, Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 28, menafikan perkara tersebut dengan berkata beliau hanya menjaga pemakanan selain amalan berpuasa sehingga berjaya menurunkan berat badan hampir 20 kilogram.

    “Sebelum ini ada yang kata saya ambil dadah sebab nampak terlalu kurus. Saya tidak pernah ambil bahan terlarang itu.

    “Saya amalkan berpuasa… makan satu hari sekali dan lebih banyak minum air. Bagi saya berat 90 kilogram sebelum ini sudah capai tahap obesiti, jadi saya nekad turunkan berat badan.

    “Apabila berat badan sudah turun ia membantu juga dari segi nyanyian. Dalam masa sama saya juga mengurangkan peratusan obesiti negara,” katanya.

    Dalam tempoh tersebut juga penyanyi itu membuat keputusan untuk tidak lagi bersama kumpulan K-Clique dan mahu meneruskan kerjaya secara solo.

    “Dalam tempoh senyap itu saya lebih fokus kepada diri sendiri. Dua tahun kebelakangan ini saya lebih mengenali diri dan mencari matlamat hidup selagi masih bernafas.

    “Saya juga gembira dapat meluangkan masa bersama keluarga dan bermuzik secara bebas,” ujarnya.

    Terbaharu, Tuju tampil dalam lagu berjudul Risiko yang juga merupakan kolaborasi bersama salah seorang anggota K-Clique iaitu MK.

    Mengakui pernah berlaku salah faham bersama kumpulan berkenaan, Tuju bagaimanapun kini mahu melupakan segala kisah lalu dan sentiasa mendoakan kerjaya seni rakan-rakan itu terus maju.

    “Biarlah apa yang berlaku saya simpan dalam hati sahaja. Kalau nak cerita apa punca pun saya sudah lupa kerana ia terlalu lama.

    “Sekarang ini saya lebih selesa bergerak solo dan tidak mungkin akan kembali bersama K-Clique. Kalau ada projek istimewa mungkin tidak ada masalah,” jelasnya.

    Selain Tuju dan MK, lagu Risiko turut menampilkan tiga penyanyi rap lain iaitu Benzooloo, Meerfly serta Ghidd. – Agensi

    Tuju kini kembali aktif dalam industri muzik. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...