Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tujuh lelaki dipenjara, sebat kerana pecah rumah, curi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Mahkamah Perantaraan baru-baru ini menjatuhkan hukuman terhadap tujuh lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas beberapa siri kesalahan pecah rumah, curi dan melakukan khianat.

    Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta lapan kali sebatan kepada Awangku Abdul Malik bin Pengiran Idrus, 28, dan Muhammad Irwin Omar, 41.

    Sementara itu, Muhammad Nazeerul Azim Zoelaliffin, 28, menerima hukuman penjara enam tahun empat bulan serta empat sebatan; Abdul Hafiz Adam, 25, menerima hukuman penjara selama sembilan bulan; Mohammad Hairul Faizal bin Haji Taim, 38, dihukum penjara dua tahun lapan bulan serta dua sebatan; Mohd Zul Eqram bin Haji Asmad, 39 menerima hukuman penjara 12 tahun serta sembilan kali sebatan; dan Muhammad Nur Syazwan Suhaili, 34, dipenjara tiga tahun serta tiga kali sebatan.

    Mahkamah berharap hukuman akan menjadi pengajaran dan keinsafan, dan akhirnya berubah menjadi lebih baik apabila mereka dibebaskan nanti.

    Pendakwa Raya Ahmad Firdaus bin Mohammad mendedahkan bahawa dalam penglibatan berganti-ganti, lelaki-lelaki berkenaan telah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Lambak Kiri pada 4 November 2021 pukul 1 pagi dengan membawa lari sebuah televisyen dan kamera CCTV.

    Siasatan polis dibantu dengan rakaman CCTV yang membawa kepada penahanan mereka.
    Pada 13 April 2021, lelaki-lelaki terbabit memasuki kem pekerja binaan di Jalan Kebangsaan Lama pada pukul 8:30 pagi di mana mereka berjaya mencuri tiga telefon bimbit.

    Seorang pekerja telah melihat lelaki berkenaan mengambil telefon dan menjerit meminta tolong, tetapi defendan berjaya melarikan diri.

    Laporan polis bagaimanapun membawa kepada penahanan mereka.

    Beberapa orang defendan juga menceroboh masuk ke IBTE Kampus Nakhoda Ragam antara Ogos dan September 2021 di mana mereka menyelongkar dan mencuri makanan, kipas berdiri, periuk nasi dan radio dari dapur kampus. Lelaki itu kemudiannya menjual peralatan elektrik itu ke tempat sekerap. Seorang kakitangan sekolah membuat laporan polis sejurus menyedari kejadian itu.

    Sementara itu, pada 31 Oktober 2021 beberapa orang tertuduh mencuri kabel dari sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Peninjau, Jerudong yang sedang dalam pembinaan.
    Pemiliknya menyedari kecurian itu apabila dia melawat tapak itu dan menyerahkan rakaman CCTV untuk membantu siasatan polis.

    Manakala, dua daripada defendan telah menceroboh pusat pengkomposan sisa, JASTRe pada 29 dan 30 Jun 2021 di mana mereka mencuri sebuah blower dan dua mesin pemotong rumput dari bangunan penyimpanan. Seorang kakitangan membuat laporan polis kerana menyedari kecurian itu.

    Dua lelaki yang sama memecah masuk ke sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas pada waktu malam antara 9 dan 10 Oktober 2021 di mana mereka mencuri dokumen peribadi dan barangan lain.

    Pemilik menyedari barangannya hilang dan melaporkannya kepada polis.

    Empat daripada tujuh defendan memecah masuk sebuah rumah kosong di Jalan Mejawa, Kampung Jerudong pada waktu malam antara 21 dan 22 Oktober 2021.

    Mereka berjaya membawa lari wang tunai, televisyen, set karaoke, pemain DVD dan peti keselamatan yang mengandungi barangan kemas.

    Pemiliknya pulang ke rumah dan mendapati rumahnya telah dirompak dan melaporkannya kepada polis.

    Terlibat secara bergilir-gilir, lelaki-lelaki terbabit memecah masuk ke sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas pada 11 November 2021 dengan mencuri wang tunai, barang kemas dan elektronik; sebuah rumah di Jalan Binglu Utara, RPN Meragang pada 18 Oktober 2021 untuk mencuri makanan dan barangan lain; dan sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Peninjau, Jerudong pada 21 Oktober 2021 bagi mencuri kabel pintu pagar automatik.

    Seorang daripada defendan, dibantu oleh orang tidak dikenali lain, telah merosakkan dan mencuri sel bateri dan kabel dari sebuah bangunan stesen jana kuasa di Bukit Shahbandar pada 24 September 2021.

    Insiden ini menyebabkan gangguan besar kepada UNN dengan kerosakan bernilai lebih $150,000.

    Defendan yang sama, dan sekali lagi dibantu oleh orang tidak dikenali lain, memotong dan mencuri kabel dari Stesen Jana kuasa Berakas di bangunan stesen jana kuasa di Bukit Shahbandar pada Oktober, 2021 menyebabkan kerosakan bernilai lebih $5,000. Dua daripada tujuh lelaki itu mencuri harta benda bernilai $10,000 apabila memecah masuk sebuah rumah di Bebatik Kulapis pada September 2021.

    Pendakwa Raya Ahmad Firdaus juga memaklumkan mahkamah mengenai semua sabitan terdahulu defendan yang merekodkan sekurang-kurangnya satu kesalahan yang mana semuanya berkaitan dengan pencurian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...