Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    UTB, BHC jalin kerjasama

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Universiti Teknologi Brunei (UTB) akan bekerjasama dengan Butra HeidelbergCement (BHC) untuk mempromosikan pengetahuan dan mengukuhkan pemahaman bahan binaan mampan, dengan tumpuan kepada simen dan konkrit.

    Ini merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran melalui dialog, bengkel, mesyuarat bersama, kemungkinan penyertaan penyelidikan, dan/atau program khidmat masyarakat.

    Kerjasama itu dirasmikan dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, dan BHC diwakili oleh Pengarah Urusan, Marcelino Ugarte.

    MoU itu menandakan komitmen kedua-dua organisasi untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dalam bidang kemampanan alam sekitar, khususnya dalam industri pembinaan dan mengukuhkan komitmen UTB untuk mewujudkan jejak karbon rendah, dan persekitaran mampan hijau untuk semua.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dan Marcelino Ugarte semasa sesi penandatanganan MoU, kelmarin. – Gambar oleh Lyna Mohamad

    Dalam ucapannya, Marcelino Ugarte menyampaikan penghargaannya kepada UTB atas bimbingan dan kepakaran yang diberikan dalam menganjurkan dialog tersebut, serta harapan beliau untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti untuk memajukan matlamat bersama kedua-dua organisasi bagi meneruskan inisiatif kemampanan dalam industri pembinaan dan bahan binaan.

    Beliau juga mengakui bahawa menyuntik amalan mampan ke dalam industri telah menjadi satu cabaran, oleh itu sebagai satu cara untuk mengatasinya, adalah penting untuk mengambil pendekatan pendidikan, bagi mewujudkan kesedaran, pemahaman dan juga untuk menggalakkan perbincangan aktif supaya industri dapat bekerjasama secara padu.

    Naib Canselor UTB dalam ucapan balasnya pula menyatakan kepentingan mewujudkan kerjasama strategik dengan organisasi swasta seperti BHC untuk membuka peluang ke arah mewujudkan ekonomi yang dinamik dan mampan memandangkan negara semakin hampir merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    “Penandatanganan MoU hari ini menjadi peristiwa penting ketika kami memulakan hubungan kerja kami dalam kepentingan bersama yang lebih pasti,” ujarnya.

    BHC dan UTB sebelum ini telah bekerjasama dalam satu siri kuliah pada tahun 2022, dan BHC telah secara berterusan menjadi tuan rumah kepada pelajar universiti untuk penempatan industri dan melalui MU itu, kedua-dua organisasi berharap untuk mengembangkan kerjasama semasa dalam usaha bersama untuk mendorong agenda kemampanan yang berkaitan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...