Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Vietnam, ASEAN komited kurangkan kemiskinan, keselamatan makanan

    NEW YORK, 13 OKT – Vietnam menekankan komitmen negara itu dan ASEAN untuk mengurangi kemiskinan, menangani isu keselamatan makanan dan memastikan pembangunan pertanian mampan pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Ekonomi dan Kewangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 di New York kelmarin.

    Duta Besar Dang Hoang Giang, Wakil Tetap Vietnam ke PBB, ketika berucap pada mesyuarat itu, menegaskan bahawa pertanian merupakan sektor utama di Asia Tenggara, mewujudkan pekerjaan untuk 30 peratus penduduk. Ia menyumbang secara signifikan kepada usaha serantau ke arah pembasmian kemiskinan, pembangunan mampan dan mengurangkan kelaparan.

    Beliau memetik statistik yang menunjukkan bahawa terdapat 670 juta orang, atau lapan peratus daripada populasi dunia, menghadapi kekurangan makanan pada 2030.

    “Menghadapi cabaran ini, ASEAN terus komited untuk memperkukuh keselamatan makanan serantau melalui pelaksanaan strategi kerjasama mengenai makanan dan agro-perhutanan, Rangka Kerja Keselamatan Makanan dan Strategi Tindakan Keselamatan Makanan bagi tempoh 2021-2026 dan Rangka Kerja dan Program Tindakan Strategi Pemakanan bagi tempoh 2018-2030.

    “ASEAN sangat menghargai cadangan dasar dan sokongan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta penyelaras residen dan agensi PBB di negara serantau dalam hal ini,” kata Duta Besar Giang seperti dilaporkan agensi Berita Vietnam (VNA).

    Mengenai pembasmian kemiskinan, beliau berkata ASEAN telah mencapai kemajuan ketara dalam melaksanakan inisiatif dan strategi untuk menggalakkan kerjasama serantau dan pembangunan inklusif di kawasan luar bandar dan bandar.

    Ia mempercepatkan pembasmian kemiskinan, termasuk Rangka Kerja Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 – 2025, Prospek Pembangunan ASEAN dan forum pengurangan kemiskinan dan pembangunan di bawah Komuniti Sosioekonomi ASEAN. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...