Friday, May 10, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Waspada kebakaran hutan pada musim panas

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Sebanyak 23 panggilan mengenai aduan kebakaran hutan dan belukar melibatkan 17.7 hektar telah diterima di keempat-empat daerah dari 1 hingga 30 Januari tahun ini, menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), yang diterima hari ini.

    Daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan 12.2 hektar diikuti Daerah Belait 4.6 hektar dan Tutong 0.9 hektar.

    Manakala statistik panggilan untuk tahun 2021 bagi panggilan kebakaran hutan dan belukar telah mencatatkan lebih 400 panggilan di seluruh negara.

    Daripada jumlah tersebut, jabatan merekodkan sebanyak 216 panggilan kebakaran hutan yang melibatkan 198.3 hektar dan 245 panggilan kebakaran belukar yang melibatkan 106.21 hektar.

    Jabatan turut menjelaskan daripada jumlah panggilan itu, Daerah Brunei dan Muara menerima sebanyak 143 panggilan kebakaran hutan dan belukar yang melibatkan 64.05 hektar.

    Gambar fail menunjukkan anggota bomba tiba untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.
    Anggota bomba ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan dan rumput.

    Manakala Daerah Belait sebanyak 201 panggilan yang melibatkan 152.81 hektar, Daerah Tutong (113 panggilan melibatkan 86.15 hektar) dan Daerah Temburong (empat panggilan melibatkan 1.5 hektar).

    Dalam usaha memadam kebakaran itu, anggota bomba turut berdepan cabaran dalam memadam api di hutan tanah gambut yang mengambil masa lama untuk dipadamkan yang mana ia juga boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan penduduk, jika ia melarat dan berlarutan.

    Sehubungan itu, operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut ini juga memerlukan peralatan dan logistik berat yang perlu digunakan oleh anggota yang beroperasi.

    Sementara itu, Negara Brunei Darussalam dijangka akan memasuki separuh kedua monsun timur laut sekitar penghujung Januari dan akan berterusan hingga ke penghujung Mac depan.

    Berdasarkan klimatologi negara ini, bulan Februari hingga Mac mempunyai bilangan hari-hari berhujan dan jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulan-bulan lain.

    Sepanjang tempoh ini juga negara akan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang
    stabil.

    Impak-impak cuaca yang berpotensi berlaku semasa tempoh fasa kedua monsun timur laut adalah keadaan panas di waktu siang dan ada kalanya suhu udara maksimum meningkat antara 33 ke 35 darjah Celsius.

    Keadaan kering ini juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu dan peningkatan kejadian kebakaran hutan dan rumput.

    Sehubungan itu, JBP menekankan kepada orang ramai supaya mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan membersihkan kawasan perumahan atau bertujuan untuk bercucuk tanam dan sebagainya.

    Selain itu, orang ramai juga adalah disaran untuk membantu memadam kebakaran kecil hutan atau belukar tanpa membahayakan diri sendiri.

    Manakala bagi penggemar yang suka berburu atau melakukan aktiviti riadah di dalam hutan, elakkan untuk membuat nyalaan api (unggun api) dan jika perlu pastikan bara-bara api dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan tempat berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...