Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Yayasan serah sumbangan lebih $100,000

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Sebanyak $102,350 telah disumbangan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan rumah roboh, dan juga 75 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

    Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan di ibu negara.

    Penyampaian sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan.

    Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Turut hadir bagi menyaksikan penyampaian sumbangan itu ialah penolong-penolong pengarah urusan Yayasan, pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan.

    Sumbangan untuk mangsa kebakaran ini adalah selaras dengan dasar penubuhannya, khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

    Yayasan telah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhan berjumlah $20,950 kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh di beberapa buah kampung di seluruh negara.

    Penerima sumbangan bagi musibah kebakaran ialah Dayang Jainah binti Jahari dari Kampung Sinarubai dan N Narayana Samy Dhanalakshimi dari Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panaga, Seria.

    Manakala penerima sumbangan bagi musibah rumah roboh, Dayang Zainatul Aini binti Musthapa, Kampung Pengiran Setia Negara; Hajah Noriah binti Haji Abd Latif, Kampung Burong Pingai Ayer; serta Dayang Sabariah binti Haji Salleh dan Hajah Buntar binti Haji Jamahat masing-masing dari Kampung Setia A.

    Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

    Manakala, sebanyak $81,400 sumbangan telah disalurkan kepada 75 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya menjelang bulan Ramadan yang akan datang.

    Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.

    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...