Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Zii Jia keluar dari pasukan kebangsaan Malaysia

    KUALA LUMPUR, 20 JAN – Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei berharap kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dapat diselesaikan secara baik.

    Pemenang pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik itu berkata berita mengenai keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM telah menjadi antara topik berprofil tinggi yang menjadi tumpuan peminat seluruh dunia.

    Beliau berkata isu yang berpanjangan tidak memberi kebaikan, sebaliknya boleh mencetuskan tanggapan negatif peminat luar terhadap nama baik badminton tanah air, yang merupakan antara sukan utama di Malaysia.

    “Tidak hanya di Malaysia, satu dunia pun tahu berita ini. Saya juga rasa perkara ini tidak begitu bagus untuk skuad badminton kebangsaan. Saya harap boleh cepat diselesaikan dan fokus kepada badminton. Jangan sampai jadi besar sangat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Semalam Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia membuat keputusan meninggalkan badan induk itu untuk bergerak sebagai pemain bebas dan telah menghantar surat perletakan jawatan pada 11 Januari lalu.

    Mohamad Norza berkata BAM telah mengadakan beberapa perbincangan dengan juara All England 2021 itu bagi memujuk Zii Jia untuk kekal, namun pemain berusia 23 tahun itu tetap dengan pendiriannya.

    Mengulas lanjut Mohamad Norza berkata antara faktor Zii Jia ingin keluar adalah beliau bukan Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan dan mahu mencapai apa yang diinginkan sendiri dengan ruang tanpa kekangan.

    BAM dijangka mengumumkan keputusan berhubung kata putus Zii Jia itu esok. – Bernama

    Berita mengenai keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM telah menjadi antara topik berprofil tinggi yang menjadi tumpuan peminat seluruh dunia. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...