Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Nikmati kebahagiaan dengan saling berbagi rezeki

    Oleh Nurdiyanah R.

    Islam adalah agama yang mementingkan hubungan yang baik di kalangan umatnya sehingga dapat menjadikan umat Islam itu sebagai insan-insan yang kuat dan bersatu padu.

    Dengan adanya kehidupan saling bantu-membantu maka ia mampu menyemai perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi tanpa mengira dari kalangan keluarga, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali.

    Salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong-menolong atau bantu-membantu ialah dengan amalan bersedekah atau menderma. Hakikatnya, melalui amalan bersedekah, ia dapat melatih jiwa seseorang itu untuk menjadi orang yang memiliki perasaan belas kasihan, kasih sayang, dan jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri. Bersedekah juga salah satu cara membelanjakan harta pada jalan Allah SWT, ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar untuk mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

    Sumbangan Kastah Sekolah

    Tatkala orang lain dikelilingi dengan nikmat kebahagiaan bersama ibu bapa, mereka yang sebaliknya setentunya ada yang kehilangan tempat bermanja dan berkasih sayang apatah lagi nasib belum pasti pada masa-masa akan datang. Begitu juga kesayuan menyaksikan golongan keluarga yang tidak berkemampuan dari segi kewangan disebabkan banyak tanggungan. Justeru itu, menyayangi dan memelihara insan-insan yang memerlukan bantuan sangat dituntut dalam Islam.

    Begitulah antara luahan tulus yang disampaikan oleh pengasas kumpulan Fazhah.Inc, Dayang Aunizafirah Batrisyia binti Agus Zamri semasa ditemui penulis ketika mengungkayahkan sumbangan menerusi Projek Kastah Sekolah Donation 1.0: Temburong Edition, dengan melibatkan 10 buah sekolah di Daerah Temburong, baru-baru ini.

    Kumpulan Fazhah.Inc telah menganjurkan kegiatan sumbangan amal menerusi Projek Kastah Sekolah Donation 1.0: Temburong Edition, dengan melibatkan 10 buah sekolah di Daerah Temburong, baru-baru ini.
    Dayang Ummi Aisyah menjelaskan dengan adanya perlaksanaan projek berkenaan secara tidak langsung menyemai rasa kecintaan terhadap menceburi kegiatan kemasyarakatan.
    Dayang Latifah Hannani berharap untuk mengembangkan pelbagai kegiatan kemasyarakatan bersama ahli-ahli kumpulan lain lebih-lebih lagi dalam memberi manfaat kepada insan-insan yang memerlukan.

    Sebagai membuka tirai berbagi rezeki di musim persekolahan tahun baharu, kumpulan Fazhah.Inc yang terdiri dari lebih tujuh orang ahli jawatankuasa dan beberapa sukarelawan terlibat telah menganjurkan kegiatan sumbangan amal tersebut.

    Dayang Aunizafirah turut menambah sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan dan sumbangan ikhlas orang ramai yang telah dijalankan pada penghujung bulan Disember lalu bagi menyediakan keperluan pembelajaran khususnya untuk golongan pelajar yang mengalami kesulitan dalam kewangan, memiliki adik-beradik yang ramai serta anak-anak yatim berdasarkan penelitian dari pihak sekolah yang telah ditentukan sebelumnya.

    “Lebih 100 pelajar yang kurang berkemampuan dan tersenarai di setiap sekolah yang terpilih telah menerima hasil sumbangan berupa barangan keperluan sekolah seperti buku tulis, kertas dan sebagainya serta baucar kedai buku di bawah projek berkenaan.

    “Dengan adanya kegiatan amal sedemikian, diharap ia dapat meringankan beban pelajar-pelajar sepanjang persekolahan di samping menjadi pencetus semangat seluruh masyarakat di negara ini untuk sentiasa bersatu-padu. Ia juga menyemai rasa prihatin antara satu sama lain terutamanya mereka yang memerlukan dan sekali gus berlumba-lumba meraih ganjaran pahala dengan mengejarkan sedekah sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam,” ujarnya.

    Bersatu secara holistik

    Sementara itu, perkongsian turut diungkapkan oleh salah seorang ahli kumpulan, Dayang Ummi Aisyah binti Rosli, 20, yang menyatakan dengan adanya perlaksanaan projek sumbangan berkenaan ia secara tidak langsung menyemai rasa kecintaan terhadap keindahan menceburi kegiatan kemasyarakatan meskipun ia buat kali yang pertama bagi dirinya.

    “Dalam menerokai nilai-nilai positif dalam kegiatan sebegini, segalanya demi meraih kebaikan hidup di dunia dan akhirat bahkan juga sekali gus ingin sama-sama membuka minda dan jiwa generasi muda di luar sana untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang lebih berfaedah demi agama, bangsa dan negara kita.

    “Sejujurnya, saya seorang yang introvert tetapi dengan projek ini saya telah belajar bagaimana untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain dengan lebih baik, di samping sama-sama menyedari bahawa betapa pentingnya semangat tolong-menolong sesama masyarakat di mana pun kita berada,” jelasnya dengan nada kesyukuran.

    Kitalah aset negara!

    Manakala, Dayang Latifah Hannani binti Haji Mohd Jini juga salah seorang ahli kumpulan berkenaan turut meluahkan perasaan penuh kesyukuran meskipun penat dirasai namun ia hilang begitu sahaja apabila melihat keceriaan dan senyuman pada wajah-wajah mereka yang menerima sumbangan tersebut.

    “Alhamdulillah, keindahan hati yang sukar diungkapkan sepenuhnya. Adalah menjadi harapan tulus bagi diri dan rakan-rakan kumpulan yang lain untuk mengembangkan pelbagai kegiatan kemasyarakatan lebih-lebih lagi dalam memberi manfaat kepada insan-insan yang begitu memerlukan bantuan sama ada dari segi wang ringgit, buah fikiran dan juga tenaga pada masa-masa akan datang.

    “Kepada belia dan beliawanis tanah air, marilah kita bersama-sama menanamkan sikap positif dengan menceburi aktiviti-aktiviti sebegini dalam mengisi masa lapang yang ada kerana kitalah penerus bangsa yang perlu berjiwa kental untuk maju ke hadapan dan mampu bagi menjadi pelapis dalam meningkatkan intergriti penduduk negara kita. Kitalah aset negara!” ujarnya penuh keyakinan.

    Kemanisan cukup dirasai

    Kemanisan sedekah itu cukup dapat dirasai jika kita benar-benar ikhlas melakukannya. Harta yang disedekahkan bukannya berkurang, malahan Allah SWT akan menggantikan dan menambah harta seseorang pemberi sedekah dengan berlipat kali ganda.

    Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah SWT samalah seperti menanam sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Betapa besarnya rahmat Allah SWT kurniakan bagi sesiapa yang saling mengamalkan amalan bersedekah atau menderma. Ini terbukti melalui firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 sebagaimana tafsirnya:

    “Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji, dan ingatlah Allah SWT akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas Rahmat KurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.’’

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...