Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    13 terima lencana, skarf

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Setelah menjalani latihan selama 15 minggu dalam hasrat untuk mendalami ilmu kepimpinan dan kemahiran berpengakap, 13 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 baharu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima lencana dan skarf dalam Majlis Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia dan pemakai-an skarf pengakap serta epolet Pengakap Kelana pada satu istiadat khas untuk ahli-ahlinya bagi pengambilan ke-3, 2021 yang berlangsung di UNISSA, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr Sufri bin Haji Sudin.

    Turut hadir pada majlis penyampaian lencana berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Pusat Kokurikulum UNISSA dan pensyarah-pensyarah UNISSA serta ketua-ketua pasukan beruniform UNISSA, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Samsuddin bin Haji Ahmad; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Remaja, Haji Burhanuddin bin Haji Mohd Daud; Pengurus Projek Penanaman Pokok Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Haji Othman bin Durani dan Jurulatih Pasukan Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak dan Haji Junaidi bin Haji Hussin.

    Istiadat Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia telah disempurnakan oleh Awang Samsuddin, pemakaian skarf pengakap kepada ahli-ahli pengakap lelaki oleh Dr Sufri dan pemakaian epolet Pengakap Kelana oleh Pensyarah di UNISSA, Dr Muhammad Alif bin Haji Sismat, selaku pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA.

    Manakala itu, penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia, pemakaian skaf pengakap dan epolet Pengakap Kelana kepada ahli-ahli Pengakap Kelana perempuan telah disampaikan oleh Pensyarah dan Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA, Dr Siti Nur Idayu binti Haji Matusin.

    Dr Sufri bergambar ramai bersama jemputan dan ahli-ahli Pengakap Kelana 1102 UNISSA pada majlis yang
    berlangsung di UNISSA, kelmarin. – Gambar serahan Pengakap Kelana UNISSA

    Seterusnya majlis menyaksikan penyampaian skarf dan Lencana Perutusan Kedamaian kepada ahli-ahli Pengakap Kelana yang telah disampaikan oleh Haji Othman.

    Majlis disusuli dengan penyampaian sijil-sijil tamat latihan kokurikulum pengakap bagi pengambilan ahli Pengakap Kelana UNISSA ke-2, tahun 2020-2021, sijil penyertaan Kursus Penerangan Am, sijil penyertaan Kursus Sekapur Sireh di Outward Bound Brunei Darussalam dan sijil penyertaan Perkhemahan Asas Sehari oleh Dr Sufri.

    Lencana Keahlian Pengakap Sedunia merupakan satu lencana atau ujian yang wajib diikuti oleh semua ahli pengakap yang baharu.

    Semua syarat-syarat yang diperlukan dalam ujian ini terkandung dalam buku Dasar Pertubuhan dan Aturan (‘POR) Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

    Sebelum ahli-ahli Pengakap Kelana baharu lulus dalam ujian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia, yang juga dikenali sebagai SQUIRE, mereka akan diberikan latihan yang berterusan dan pengetahuan berpengakap oleh Pemimpin Pasukan Pengakap Kelana dan jurulatih-jurulatih pengakap yang mahir di dalam bahagian Pengakap Kelana.

    Sebelum majlis itu, ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA di bawah pimpinan Dr Muhammad Alif telah menjalani sesi latihan kepimpinan dan kemahiran yang telah dijalankan selama 15 minggu untuk ahli-ahli Pengakap Kelana baharu pengambilan ke-3 pada Ogos 2021.
    Semua pembelajaran semasa perjumpaan mingguan telah dijalankan secara maya.

    Pengakap diajar penggunaan simbol isyarat jari ketika membuat hormat pengakap, ketika melafazkan Persetiaan Pengakap dan tanda isyarat senyap pengakap, penerangan dan latihan praktikal bagi istiadat menaikkan bendera, pemakaian pakaian seragam pengakap yang betul, latihan asas kawad kaki, melipat bendera, persediaan perkhemahan dan sebagainya,

    Manakala latihan praktikal meliputi kemahiran asas perkhemahan, membuat kraf pengakap, membaca peta dan kompas, ikhtiar hidup bagi menghidupkan api menggunakan kayu dan memasak roti lilit, menunjuk cara penggunaan dan penjagaan peralatan tajam, ikatan dan simpulan, memasak bagi makan tengah hari secara berkumpulan dan permainan berkumpulan.

    Di samping itu, ahli-ahli pengakap juga telah mengikuti Kursus Kepimpinan Sekapur Sireh, Istiadat VIGIL dan Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana pada 1 hingga 3 Mac yang berlangsung di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kem Batang Duri, Daerah Temburong. Kursus kemahiran jati diri itu bermatlamat untuk membentuk sifat-sifat kecekalan dan ketahanan diri serta mental ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA dalam menghadapi sebarang cabaran yang di luar kebiasaan mereka.

    Antara kegiatan yang telah dianjurkan sepanjang kursus kepimpinan jati diri itu adalah sesi perbincangan dan pembentangan dalam gerak kerja kumpulan kecil serta pemantapan kemahiran dalam membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran seperti aktiviti keyakinan ketika berada di dalam air, flying fox dan pembelajaran asas membaca kompas dan peta.

    Ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA turut menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan bertempat di dalam kawasan Outward Bound Brunei Darussalam dengan aktiviti membersihkan kawasan persekitaran dan menanam bunga-bunga hiasan serta memasang papan tanda.

    Di akhir kursus, ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA telah dilantik secara rasminya sebagai ahli Pengakap Kelana dalam satu majlis Istiadat Melantik ahli Pengakap Kelana (VIGIL).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...