Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    14 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    BANGKOK, 5 OGOS – Sekurang-kurangnya 14 orang maut manakala 40 lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah kelab malam yang sesak dengan pengunjung, di wilayah Chonburi, tenggara Bangkok hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira 1 pagi (waktu tempatan) di bar Mountain B yang baharu dibuka di daerah Sattahip, Chonburi.

    Pegawai dari Institut Perubatan Forensik, Hospital Polis di Bangkok, Kolonel Pongsakorn Thitichot, berkata 10 lelaki dan empat wanita maut di tempat kejadian.

    “Pasukan penyelamat menjumpai 14 mayat rentung dan 11 daripadanya dapat dikenal pasti. Kesemua mayat akan dibawa ke Hospital Polis di Bangkok lewat petang ini.

    “Bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematian,” katanya pada sidang media di Bangkok.

    Kerosakan akibat kebakaran di bahagian dalam kelab malam Mountain B di daerah Sattahip, wilayah Chonburi. Seramai 14 maut dan 40 cedera dalam kebakaran itu. – AP

    Sementara itu, Komander Polis Daerah Chonburi Mejar Jeneral Atthasit Kitchahan berkata sekurang-kurangnya 40 mangsa cedera, dengan lapan daripadanya dalam keadaan kritikal.

    “Siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan,” katanya. Media tempatan melaporkan bahawa kebakaran bermula ketika acara persembahan muzik sedang berlangsung, pengunjung yang panik bertindak melarikan diri melalui pintu depan sejurus api mula marak.

    Saksi berkata kebakaran bermula dari bumbung, sebelum merebak dengan pantas selepas gabus kalis bunyi terbakar.

    Lebih 20 jentera bomba dihantar ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran, dan api dapat dipadamkan sepenuhnya selepas dua jam.

    Kelab malam satu tingkat itu baharu dibuka kira-kira sebulan lalu dan popular dalam kalangan anak muda tempatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...