Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Operasi tahan 15 individu bersama barang tegahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Seramai 15 orang telah ditahan dan pelbagai barang tegahan telah dirampas dalam empat gerakan operasi di beberapa lokasi dan pemeriksaan rutin di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) dan Pos Kawalan Sungai Tujoh yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, hari ini, hasil gerakan operasi pertama yang dijalankan pada 12 Julai di sekitar Kampung Beribi telah berjaya menahan enam lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 33 hingga 43 tahun yang didapati memiliki 52 karton, 34 paket, 44 batang rokok pelbagai jenis, sembilan botol minuman keras serta wang tunai sebanyak $3,236 yang dipercayai hasil jualan barang-barang tegahan kastam.

    Pada 14 Julai, hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan di kawasan Kampung Mulaut telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun yang memiliki 65 karton dan sembilan paket rokok pelbagai jenis.

    Turut dirampas adalah sebuah kereta serta wang tunai berjumlah $131 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan kastam.

    Manakala itu, hasil gerakan operasi yang ketiga pada 16 Julai yang dijalankan di salah sebuah restoran di Kampung Kiarong, JKED telah berjaya menahan empat orang warga tempatan dan seorang lelaki penduduk tetap berumur dalam lingkungan 21 hingga 54 tahun yang memiliki dua unit vape, satu paket dan 22 batang rokok.

    Antara barang tegahan dikesan dalam bagasi yang dirampas semasa operasi dijalankan di Bahagian Penumpang, LTAB.

    Antara barangan tegahan yang dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa JKED baru-baru ini.

    Pada 18 Julai pula, hasil gerakan operasi keempat yang telah dijalankan di kawasan Pantai Serasa, JKED berjaya menahan dua orang warganegara tempatan berumur 22 dan 40 tahun yang memiliki 400kg tongkeng ayam dan 100kg sayap ayam yang diragui kehalalannya.

    Turut ditahan adalah sebuah bot berukuran 15 kaki berserta dua enjin dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan berkenaan. Selain daripada kes-kes tangkapan gerakan operasi, JKED menerusi pemeriksaan rutin harian yang dijalankan pada 16 Julai di Bahagian Penumpang, LTAB, telah berjaya menangkap seorang penumpang warganegara tempatan berumur 28 tahun.

    Hasil pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawanya telah mendapati mengandungi 102 unit peralatan vape. Manakala itu, satu kes tangkapan juga telah dibuat di Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 19 Julai yang melibatkan barang tegahan kastam iaitu vape dan vape juice.

    Semasa menjalankan pemeriksaan rutin harian ke atas sebuah kenderaan di bahagian masuk, JKED telah mendapati barang-barang berkenaan disembunyikan di dalam beg kecil yang diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan.

    Hasil pemeriksaan lanjut mendapati barang tegahan kastam iaitu dua Sp2 Pod Sticks, dua paket x dua unit e-liquid pelbagai jenis perisa dan lapan paket x tiga unit e-liquid pelbagai jenis perisa. Kesemua barangan tegahan terbabit telah dirampas dan individu terlibat telah dibawa ke pejabat penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...