Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tingkatkan kecekapan, keberkesanan perundangan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Tidak diragui bahawa ini merupakan masa yang amat mencabar bagi semua di mana sebelum dapat berasa selesa daripada gelombang kedua, negara sekali lagi dilanda pergolakan dengan kes harian COVID mencecah angka yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini disebabkan varian Omicron.

    Dalam menempuh semua itu, Pejabat Peguam Negara kekal teguh dalam misinya, memberi sokongan perundangan yang penting bila diperlukan seperti pemerolehan vaksin dan terapi oral anti-virus dan menyediakan pindaan-pindaan kritikal kepada undang-undang untuk membawa dasar negara ke hadapan dan untuk perkembangan tempatan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dalam ucapan pada Upacara Pembukaan Tahun Undang-undang 2022 yang berlangsung secara maya dari Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Ketika menyentuh mengenai pembangunan kapasiti, beliau dalam ucapannya menekankan bahawa sesebuah organisasi itu hanya akan sebaik orang-orang yang berada dan bekerja di dalamnya di mana bagi tujuan itu, Pejabat Peguam Negara telah memulakan pelbagai inisiatif yang direka untuk mengembangkan dan mempunyai tenaga kerja yang terbaik.

    Sebagai permulaan, ulasnya, seramai 15 orang pegawai Pejabat Peguam Negara telah dinaikkan pangkat ke jawatan kanan dalam pelbagai peranan yang menandakan pencapaian penting dalam perkembangan kerjaya dan perancangan penggantian dalam Pejabat Peguam Negara.

    Yang Berhormat Penasihat Khas KDYMM dan Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti, Yang Berhormat Haji Ahmad dan Haji Mansur hadir pada Upacara Pembukaan Tahun Undang-undang 2022.
    Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong ketika menyampaikan ucapan semasa Upacara Pembukaan Tahun Undang-undang 2022.
    Yang Berhormat Haji Ahmad ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

    “Perkembangan kerjaya akan terus menjadi satu keutamaan bagi Pejabat Peguam Negara dengan rangka kerja kompetensi yang sedia ada dan merupakan salah satu daripada dua perkara utama strategik dalam pelan strategik tiga tahun Pejabat Peguam Negara, perkara utama lain ialah penggunaan teknologi perundangan,” ujarnya.

    Manakala itu, menyentuh mengenai teknologi maklumat, Yang Berhormat Haji Ahmad menekankan pentingnya untuk kita mengikuti perkembangan semasa dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan perundangan melalui penggunaan IT.

    Beliau berkata lanjut bahawa penggunaan teknologi oleh Pejabat Peguam Negara akan melibatkan dua projek utama iaitu Sistem Pengurusan Elektronik Dokumen dan Kes (EDMS) dan Sistem Elektronik Penggubalan Undang-undang dan Dalam Talian (LEDO).

    Beliau menerangkan bahawa EDMS akan mendigitalkan proses manual semasa bagi semua Bahagian Pejabat Peguam Negara dan melaksanakan pengurusan aliran kerja tanpa kertas, membolehkan proses yang telus dan maklumat yang boleh diakses, dengan semua dokumen yang berkaitan dengan apa-apa perkara yang dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara yang tersedia dalam satu lokasi pusat.

    Yang Berhormat Haji Ahmad berkata bahawa perbincangan antara Pejabat Peguam Negara dan vendor juga telah dimulakan untuk produk LEDO yang akan membolehkan penggubalan undang-undang, semakan undang-undang dan proses penerbitan dalam satu sistem.

    “Ini hanyalah permulaan dan peluang kecil menuju apa yang saya harapkan bagi perkembangan yang lebih banyak lagi di masa akan datang dalam usaha berterusan kita untuk mencapai kecemerlangan,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...