Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Cadangan tawar perlindungan klien, pengamal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Cadangan Peraturan Profesion Undang-undang (Insurans Indemniti Profesional) yang dijangka akan berkuat kuasa pada tahun ini, bermatlamat utama untuk menawarkan perlindungan untuk kedua-dua klien dan pengamal.

    Peraturan yang dicadangkan itu akan memerlukan semua pengamal dalam sebuah firma guaman untuk mempunyai polisi insurans.

    “Peraturan ini akan mengukuhkan lagi kepercayaan antara orang ramai dan ahli-ahli kami demi kepentingan peraturan perundangan,” jelas Yang Di-Pertua Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam, Haji Mansur bin Dato Paduka Dr Haji Latif dalam ucapannya pada Upacara Pembukaan Tahun Undang-undang 2022 yang berlangsung secara maya dari Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Manakala itu, mengulas mengenai cadangan Akta Penggantian Tidak Berwasiat (Intestate Succession Act), Haji Mansur menjelaskan bahawa akta yang dicadangkan itu hanya akan digunakan untuk harta mereka yang bukan beragama Islam dan berharap akta berkenaan juga akan berkuat kuasa pada tahun ini.

    Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini, jika seseorang meninggal dunia tanpa sebarang wasiat, mereka akan dikategorikan sebagai mati tidak berwasiat dan tiada kepastian bagaimana harta mereka akan dibahagikan.

    Haji Mansur ketika menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Penggubalan akta yang dicadangkan itu akan membetulkan ketidakpastian itu di mana ia antara lain, akan memberikan pencerahan bagaimana harta si mati akan diagihkan, jelas Haji Mansur lagi.

    Beliau turut mengumumkan bahawa edisi pertama Rangka Kerja Murid (Pupillage Framework) telah dihasilkan dengan usaha kolaboratif antara kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan ahli-ahli Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam di mana rangka kerja itu adalah amat penting kepada pembangunan peguam masa hadapan supaya mereka dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperlukan sebelum dipanggil ke Brunei Bar.

    Beliau turut menerangkan tiga butiran mengenai rangka kerja berkenaan iaitu murid tidak sepatutnya menggunakan rangka kerja itu sebagai senarai semak tugasan tetapi rangka kerja itu harus digunakan sebagai satu peralatan untuk mengemudi profesion perundangan mereka.

    Beliau juga menyatakan bahawa mereka memahami akan tanggungjawab seorang pupil master dan rangka kerja itu bukannya dihasilkan untuk menjadi beban, ia adalah untuk menubuhkan sebuah program latihan yang berstruktur.

    Haji Mansur menerangkan lanjut bahawa kejayaan kerjaya seorang murid terletak kepada kesanggupan, ketabahan dan komitmen murid itu.

    Sementara itu, mengulas mengenai mengawal selia pengantaraan, Haji Mansur memuji Jabatan Kehakiman ke-rana mendorong pengantaraan ke dalam rangka kerja undang-undang di mana semasa gelombang ketiga COVID-19, mahkamah menawarkan perkhidmatan pengantaraan atas talian untuk menggalakkan pihak-pihak menyelesaikan pertelingkahan mereka.

    Beliau berkata bahawa pada masa ini, tidak ada badan berkanun yang mengawal selia pengantaraan dan berharap badan-badan kerajaan yang relevan akan menangani perkara itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...