Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Warga Mahkamah Syariah diseru lebih proaktif

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah diseru agar lebih proaktif dan bersemangat dalam mencari dan menimba ilmu serta pengalaman bagi meningkatkan kebolehan dan kredibiliti masing-masing khususnya di dalam bidang yang diceburi.

    Di samping itu, para pengamal undang-undang khasnya para hakim, pendakwa syarie, peguam syarie, pegawai-pegawai mahkamah agar dapat mengadakan perbincangan secara intensif dan akademik mengenai seluruh aspek undang-undang yang berkaitan dengan mahkamah. Peningkatan daya ilmu dan fikir semua pengamal undang-undang dan pemahaman terhadap isu-isu semasa yang semakin rumit adalah juga perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa agar dapat mencerminkan mutu dan kredibiliti Mahkamah Syariah.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Amat Arif/ Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan Tahunan Mahkamah-mahkamah Syariah Tahun 2022 bertempat di Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah, Jalan Stoney, Bandar Seri Begawan hari ini.

    Selain itu, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie turut berkata bahawa masalah berhubung penyelesaian perbicaraan kes-kes masih lagi menjadi isu yang terlalu sering didengar.

    Perjalanan prosiding perbicaraan banyak bergantung kepada perkara luaran dan juga dalaman, yang mana persediaan pihak pendakwa syarie, peguam syarie atau wakil yang dituntut adalah merupakan perkara luaran yang boleh menyebabkan beberapa pertangguhan dan permasalahan yang akan menjejaskan tempoh penyelesaian kes-kes berkenaan.

    Ini termasuklah juga kehadiran hakim pada hari dan jam prosiding yang juga turut menjadi faktor dan penyumbang dalam permasalahan dan isu yang terjadi. Jika semua pihak menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan teratur, prosiding akan dapat berjalan dengan baik dan lancar.

    Dalam hal ini, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie ingin mengingatkan juga kepada pihak-pihak yang menjalankan prosiding sama ada hakim-hakim dan pendakwa syarie mahupun peguam syarie agar sentiasa mempunyai dan menanamkan sifat serta niat yang suci bahawa segala yang dilaksanakan adalah semata-mata bagi menegakkan kebenaran serta mencegah kemungkaran dan bukanlah soal menang dan kalah itu yang menjadi tujuan bagi prosiding tersebut dijalankan.

    Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Mohammad Arif bin Haji Sabtu dan seterusnya ucapan daripada Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Haji Ali-Bolkiah bin Haji Mohd Diah.

    Majlis turut diisikan dengan penyampaian penghargaan bagi kakitangan yang telah berpindah dan penyampaian Anugerah Penghargaan Perkhidmatan Mahkamah Syariah yang disampaikan oleh Yang Amat Arif/Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.

    Yang Amat Arif/Yang Berhormat Ketua Hakim Syar’ie semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Tahunan Mahkamah-mahkamah Syariah 2022.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...