Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pemerkasaan wanita menerusi inovasi digital

    Yusrin Junaidi

    Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) sekali lagi disambut oleh Negara Brunei Darussalam pada 8 Mac 2023 dengan tema Inovasi Digital dan Teknologi untuk Semua.

    Tema ini juga diselaraskan dengan tema keutamaan untuk Sesi Commission on the Status of Women ke-67 (CSW-67) yang pada masa ini sedang berlangsung di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York iaitu Inovasi dan Perubahan Teknologi, dan Pendidikan dalam Era Digital untuk Pemerkasaan Semua Wanita dan Perempuan.

    Dalam perutusan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad berkata United Nations Observance of IWD mengiktiraf dan meraikan wanita dan kanak-kanak perempuan yang memperjuangkan kemajuan teknologi transformatif dan pendidikan digital. Sambutan pada tahun ini menekankan kepentingan melindungi hak wanita dan kanak-kanak perempuan dalam ruang digital dan menangani

    keganasan dalam talian dan teknologi infokomunikasi (ICT).
    Dengan ini, penglibatan kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dalam teknologi boleh menghasilkan penyelesaian yang lebih kreatif dan meningkatkan potensi inovasi untuk memenuhi keperluan dan pembangunan mereka, serta meningkatkan kesedaran berkenaan hak dan penglibatan sivik mereka.

    PBB juga menambah bahawa kemajuan dalam teknologi digital boleh menyokong usaha menangani cabaran pembangunan dan kemanusiaan serta mencapai 2030 Agenda for Sustainable Development Goals. Oleh itu, teknologi yang inklusif dan transformatif serta pendidikan digital adalah penting untuk masa depan yang mampan.

    Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai komitmen Negara Brunei Darussalam untuk mencapai wawasan 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kualiti kehidupan yang tinggi dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Penglibatan dan pemerkasaan wanita dalam teknologi mampu meningkatkan potensi inovasi.

    Antara pencapaian wanita negara dalam sektor digital adalah menyandang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif dalam syarikat-syarikat telekomunikasi dan pengerusi dalam badan persekutuan infokomunikasi; penerima anugerah-anugerah ICT di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik; serta pemenang dalam kategori Sains, Teknologi dan Digital bagi Anugerah Wanita Masa Hadapan (WOF).

    Negara Brunei Darussalam juga memberikan akses dan peluang yang sama rata kepada lelaki dan wanita dalam menggunakan teknologi sama ada dari segi pendidikan, kesihatan, sosial, ekonomi dan inovasi. Beberapa kaedah inovasi, sokongan teknologi dan pendidikan dalam era digital ini terbukti mampu memperkasa masyarakat termasuklah wanita dan kanak-kanak perempuan.

    Antara inisiatif berkenaan ialah Sistem Kebajikan Negara (SKN); aplikasi mudah alih seperti BruHealth, Mengalinga dan portal Daftar Kanak-kanak dan Orang Muda yang Memerlukan Perlindungan (RCYPNP). Di samping itu, agensi-agensi berkepentingan juga telah melaksanakan beberapa program peningkatan kapasiti dalam bidang ICT.

    Ia termasuk seminar dalam talian mengenai Perlindungan Data Peribadi anjuran AITI bersempena Girls in ICT Day pada 28 April 2022. Seminar yang dikendalikan penceramah wanita tempatan itu telah dihadiri oleh wanita dan kanak-kanak perempuan dari semua peringkat umur.

    Selain itu, AITI juga telah giat menjalankan Latihan Kemahiran Digital untuk Warga Emas yang mula diperkenalkan pada Oktober 2019 dengan penglibatan aktif warga emas termasuk wanita dari semua daerah. Ini dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta menerusi pembentangan dan demonstrasi amali oleh jurulatih dan fasilitator dari Jabatan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, IT Protective Security Services (ITPSS)serta wakil daripada syarikat e-dagang tempatan.

    Berkesinambungan dengan ini, dua sesi Digital for All bagi peserta lelaki dan wanita di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan warga emas di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) telah diadakan pada 8 hingga 9 November dan 1 Disember 2022. Digital for All adalah inisiatif AITI untuk mendidik masyarakat tentang literasi digital dan kemahiran asas ICT.

    Berdasarkan Penyelidikan Mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam yang telah dilaksanakan terhadap responden wanita berumur 15 tahun ke atas di seluruh negara, penglibatan kaum wanita dalam bidang digital serta kejuruteraan dan ICT masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan.

    Di samping itu, 17 peratus daripada wanita tanpa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau pendidikan tinggi mempunyai kemahiran asas komputer. Oleh itu, sokongan bagi kaum wanita untuk lebih cemerlang dan menguasai kemahiran ICT adalah digalakkan.

    Penyelidikan Mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam ini dilaksanakan bagi mengenal pasti peluang dan cabaran yang dihadapi wanita di negara ini agar memastikan mereka dapat mengecapi tahap pembangunan yang saksama.

    Ini dihasratkan untuk dijadikan asas bagi menyediakan Pelan Tindakan Wanita di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial, yang lebih terarah dan berimpak tinggi yang akan menyumbang ke arah pengenalpastian dasar-dasar kerajaan dan inisiatif-inisiatif senegara yang perlu diwujudkan ataupun diperbaiki bagi pembangunan dan pemerkasaan wanita di negara ini.

    Menurut statistik terkini, golongan wanita merangkumi lebih 47 peratus jumlah penduduk di Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, wanita di negara ini mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat penting dalam pembangunan sosioekonomi dan pemeliharaan keamanan dan keselamatan.

    Wanita telah sama-sama berganding bahu bagi mencapai kemajuan ekonomi, kesejahteraan keluarga, sosial dan kemakmuran negara.

    Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa ke-10 pada tahun ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui JAPEM telah merancang untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan women advocates, di antaranya Womentechmakers.

    Antara objektif sambutan pada tahun ini adalah untuk memberikan platform kepada orang ramai bagi berkongsi sama mengenai kejayaan wanita, kesedaran dan isu-isu yang berkaitan dengan wanita dalam kalangan masyarakat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...