Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Manfaatkan daun semula jadi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Apabila kita imbau kembali kehidupan zaman orang-orang tua dahulu, mereka acap kali menggunakan daun sebagai wadah pembungkus sama ada untuk makanan dan sebagainya. Namun, kini plastik telah menjadi pengganti. Hakikatnya pembungkusan menggunakan plastik amat berbahaya kepada kesihatan terutamanya apabila makanan yang dibungkus berada dalam persekitaran yang terlalu panas.

    Disebabkan keadaan persekitaran yang mengalami kepesatan arus pembangunan, lantaran itu, kita berdepan dengan kekurangan sumber semula jadi ini. Apa yang paling mudah dijumpai kini ialah daun pisang yang kebiasaannya banyak digunakan dalam kalangan masyarakat kita pada masa ini untuk penyediaan makanan iaitu sebagai pembungkus atau alas hidangan makanan.

    Justeru itu, apa salahnya kita ambil masa sejenak untuk menambah pengetahuan bersama sambil menerokai beberapa jenis daun semula jadi yang sesuai dijadikan pembungkus makanan yang pastinya selamat dan memiliki nilai-nilai alami apabila digunakan.

    Aroma dari pembungkus daun pisang

    Apabila kita berbicara mengenai daun daripada pokok pisang khasnya, maka dapat dikatakan bahawa penggunaan daun pisang amatlah signifikan kerana ia adalah salah satu jenis daun yang masih digunakan sehingga kini terutamanya sebagai wadah pembungkus makanan dan kuih-muih tamsilnya nasi lemak, tapai dan pais.

    Daun pandan sememangnya digunakan dengan sangat meluas dalam kalangan masyarakat Melayu terutama dalam bidang masakan dengan menjadikannya sebagai wadah pembungkus makanan seperti kuih tako.
    Penggunaan daun pisang merupakan salah satu jenis daun yang masih dipraktikkan sehingga kini terutamanya dalam proses pembungkusan makanan dan kuih-muih seperti nasi lemak, tapai dan pais yang mana ia bukan sahaja memberikan bentuk bungkusan yang cantik, malahan aroma yang wangi kepada pelbagai kulinari. – Gambar Hiasan
    Daun bamban juga merupakan salah satu daun semula jadi yang dapat digunakan untuk menghasilkan variasi produk barangan kraftangan anyaman seperti nyiru, bakul, siraung, tikar, beg, dan sebagainya yang sememangnya memiliki kegunaan yang tersendiri.

    Keaslian rasa wajik jawa semakin terserlah, lebih-lebih lagi dibungkus dengan daun alami yang dikenali sebagai daun nyirik dan disamat dengan potongan kecil batang atau lidi asli dari kelapa sawit sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis.

    Sebelum membungkus, daun pisang hendaklah dibersihkan terlebih dahulu dan dipanggang seketika di atas api yang sederhana agar tahan lebih lama. Di samping menjadikan bentuk bungkusan yang cantik, daun pisang juga menghasilkan aroma yang wangi kepada pelbagai kulinari yang disediakan tersebut.

     

    Pewarna dan perasa daun pandan

    Daun pandan sememangnya digunakan sangat meluas dalam kalangan masyarakat Melayu khasnya di negara ini lebih-lebih lagi dalam bidang masakan. Hal ini kerana air perahan daunnya dapat dijadikan sebagai perasa, pewangi serta pewarna semula jadi di dalam kuih-muih seperti kuih seri muka.

    Rentetan itu, helaian daunnya juga boleh digunakan dalam masakan nasi lemak atau nasi putih untuk membangkitkan lagi aroma nasi. Selain itu, ia juga dijadikan sebagai penambah aroma wangi kepada pelbagai jenis bubur seperti bubur kacang dan bubur durian. Dalam pada itu juga, sesetengah masyarakat di negara kita ada yang menghasilkan anyaman daripada daun pandan untuk dijadikan sebagai wadah pembungkus makanan seperti kuih tako.

    Tak lapuk ditelan zaman, begitulah istimewanya wajid atau wajik jawa yang merupakan salah satu produk makanan jenis kuih yang diwarisi turun-temurun dari zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari ini yang sekali gus sebagai simbol kulinari khas istimewa di Daerah Temburong. Namun, tahukah awda apakah daun yang digunakan untuk membungkus kuih istimewa berkenaan?

    Adapun kuih tradisi Melayu lazimnya dibungkus menggunakan daun nyirik dan disamat dengan potongan kecil batang atau lidi asli dari kelapa sawit sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis.

    Pastikan adunan yang telah siap dimasak itu sudah sejuk atau tidak dalam keadaan panas apabila dibungkus. Namun, apa yang mustahak juga ialah kebersihan bahan-bahan seperti daun nyirik dan batang kecil atau lidi yang digunakan itu sayugialah ia diambil kira agar dapat menghasilkan kualiti kuih wajid yang baik dan tahan lama.

    Anyaman kraf tangan daun bamban

    Selain itu, daun bamban juga merupakan salah satu daun semula jadi yang dapat digunakan untuk menghasilkan variasi produk barangan kraftangan anyaman yang sememangnya memiliki kegunaannya tersendiri.

    Mengimbas pertemuan penulis bersama salah seorang pengusaha kraftangan anyaman yang berasal dari Kampung Melilas, Daerah Belait, beliau ada menjelaskan bahawa kebiasaannya daun berkenan diperolehi di kawasan hutan belukar di Kampung Melilas dan juga berdekatan dengan tebing-tebing sungai.

    “Setelah memperolehi bahan-bahan asas dan menjalankan proses-proses tertentu seperti sesi menghalusi dan pengeringan, kemudian baharulah boleh diciptakan rekaan barangan anyaman yang menarik dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti, nyiru, bakul, siraung, tikar, beg, dan sebagainya.

    “Inilah antara produk-produk kraftangan bersumberkan bahan-bahan alam semula jadi yang perlu dimartabatkan oleh generasi-generasi muda kini agar ia tidak pupus ditelan zaman,” jelas beliau yang sudah bergiat dalam dunia seni kraftangan anyaman sejak tahun 1989.

    Bersama melestarikan alam sekitar

    Hakikatnya, penggunaan daun semula jadi dalam pembungkusan makanan secara tidak langsung menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Hal ini kerana bahan alami lebih mudah dilupuskan berbanding bungkusan yang diperbuat daripada plastik.

    Tuntasnya, bersama-samalah kita memanfaatkan sumber bahan semula jadi dalam kehidupan sehari-hari yang bukan hanya mempunyai kebaikan kepada kesegaran makanan yang dikonsumsi malah turut mendidik diri dan keluarga serta masyarakat amnya dengan memelihara bumi Darussalam yang tercinta ini daripada ancaman pencemaran penggunaan plastik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...