Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    907 pelajar sertai Minggu Orientasi PB

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Politeknik Brunei (PB) mengalu-alukan seramai 907 orang pelajar baharu, 485 orang pelajar perempuan dan 422 pelajar lelaki, dengan Minggu Orientasi Pelajar Pengambilan ke-12, Sesi Julai 2022 Tahun Akademik 2022/2023, yang berlangsung selama empat hari bermula dari hari ini hingga 23 Julai 2022 depan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. 

    Perasmian minggu orientasi tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon yang turut menyampaikan ucaptama.

    Dalam ucapan itu, beliau melahirkan harapan agar para pelajar baharu akan dapat menikmati pengalaman pengajaran dan pembelajaran campuran hibrid yang diajar di PB, salah satu institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam yang menyampaikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, melalui program Diploma Tahap 5.

    Jelasnya lagi, PB bekerjasama rapat dengan industri untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan dan latihan berkualiti dipacu industri sedia untuk kerjaya masa depan pelajar, selaras dengan misi dan visi PB.

    “Pada masa yang sama, PB membangun dan melatih pelajar secara holistik dari permulaan perjalanan bersama kami sehingga meninggalkan PB yang telah menjadi aset kukuh kepada masyarakat dan negara yang tabah, kreatif dan bersedia menghadapi alam masa depan yang tidak menentu.

    “Semasa pengajian, kami berharap awda akan  didedahkan kepada kemahiran, pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan dalam industri hari ini terutamanya kemahiran 4 C abad ke-21 iaitu komunikasi, kerjasama, pemikiran kritis dan kreativiti.

    “Ini adalah kemahiran asas yang akan membangunkan awda supaya belia di negara ini dapat bekerjasama dan berkebolehan tinggi serta memimpin pembangunan negara ke tempat yang sepatutnya mengikut Wawasan Brunei 2035,” tambahnya.

    Juga hadir pada majlis itu ialah penolong-penolong pengarah, ahli-ahli Senat PB, ketua-ketua bahagian, pusat dan sekolah serta ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Majlis diikuti dengan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar baharu yang diketuai oleh Awang Muhammad Aiman Mu’izzuddin bin Sahrin yang merupakan pelajar Diploma Tahap 5 dalam Program Perniagaan dan Perakaunan, Sekolah Perdagangan, PB.

    Tujuan utama minggu orientasi adalah untuk memperlihatkan penyertaan serta kerjasama, dan juga ke arah mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan pihak pentadbiran serta tenaga pengajar PB. Program suaikenal tersebut akan diisikan dengan program, taklimat dan aktiviti yang dapat membantu para pelajar untuk mengenali PB dengan lebih dekat dan memberikan gambaran kehidupan sebagai pelajar politeknik. Selain itu, ia juga diisi dengan aktiviti-aktiviti yang diharap akan dapat membantu pelajar-pelajar menjalani pengajian dan kehidupan yang produktif dan inovatif di institusi berkenaan.

    Lim Kian Boon semasa menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.
    Pelajar baharu melafazkan ikrar diketuai oleh Awang Muhammad Aiman Mu’izzuddin semasa Minggu Orientasi yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...