Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Aedy Ashraf tutup mulut kisah cinta dengan Amelia

    Tindakan pelakon Aedy Ashraf melamar aktres Amelia Henderson untuk dijadikan kekasih secara terbuka di khalayak ramai baru-baru ini mengejutkan ramai.

    Namun jika dilihat di media sosial, rata-rata tidak senang dengan perlakuan berkenaan kerana beranggapan ia seperti mengikut budaya barat.

    Tambahan pula lamaran itu hanya untuk dijadikan kekasih.

    Justeru ketika pihak media cuba mendapatkan reaksi Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 29, tentang hal berkenaan.

    Bagaimanapun Aedy memilih untuk mengunci mulut.

    “Berkaitan kisah peribadi saya tidak mahu komen,” ujarnya ringkas kepada media. Aedy ditemui ketika sidang media secara atas talian bagi mempromosikan drama baharu berjudul Bila Hati Memilih Dia yang berlangsung hari ini.

    Tindakan  Aedy Ashraf melamar Amelia Henderson mengejutkan ramai. – Agensi

    Baru-baru ini nama Aedy dan Amelia tular di media sosial apabila rakaman video aktor berkenaan melutut dan membuat lamaran untuk menjadi kekasihnya viral di TikTok.

    Momen itu berlaku ketika kedua-dua mereka hadir memeriahkan festival makanan yang berlangsung di Bukit Jalil.

    Bercakap tentang drama terbaharu lakonannya itu, Aedy berkata dia mengambil cabaran menggalas watak sebagai seorang bapa muda yang tidak pernah dia bawakan sebelum ini.

    “Pada awalnya ketika diberi tawaran berlakon drama ini saya tidak yakin kerana bimbang watak seorang bapa akan terus melekat dalam diri saya.

    “Bagaimanapun penerbit percaya untuk saya bawakan dan saya cabar diri untuk melakonkan watak sebegini.

    “Selepas ini saya akan terbuka untuk menerima tawaran watak sebagai seorang bapa tetapi tidaklah yang terlalu berusia. Jika ada anak yang masih kecil dalam lakonan apa salahnya,” jelasnya.

    Dalam drama ini Aedy bergandingan dengan Eyka Farhana dan pelakon kanak-kanak Maryam Annisa.

    Sebagai pelakon yang mula bergiat aktif sejak usia muda, Aedy turut berkongsi pengalaman dengan Maryam untuk beraksi di hadapan kamera.

    “Berlakon bersama Maryam mengingatkan saya pengalaman bekerja di set penggambaran ketika berusia lima tahun dahulu.” – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...