Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Baginda Sultan akan berangkat ke Istiadat Pemakaman Ratu Elizabeth II

    LONDON, UNITED KINGDOM, 14 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke London, United Kingdom bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II, bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Charles III, King of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland.

    Istiadat Pemakaman Negara yang akan berlangsung di Westminster Abbey, London pada 19 September ini juga dijangka akan dihadiri oleh kerabat diraja dan ketua-ketua negara dari seluruh dunia.

    Baginda Ratu Elizabeth II yang berusia 96 tahun, mangkat Khamis lalu di Balmoral Castle, Scotland. Baginda merupakan pemerintah British yang paling lama memerintah dalam sejarah iaitu menjangkau 70 tahun dan 214 hari, bermula dari 6 Februari 1952 sehingga 8 September 2022.

    Kemangkatan Baginda merupakan satu kehilangan yang amat mendalam kepada masyarakat antarabangsa amnya termasuk yang berada di Negara Brunei Darussalam, yang mana sepanjang pemerintahan, Baginda dikenali sebagai seorang pemimpin berwibawa dan unggul dari segi budi pekerti, berhemah dan berpengetahuan tinggi.

    Keakraban hubungan istimewa antara kerabat diraja Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom sudah sekian lama terjalin sejak berkurun lamanya, yang juga merupakan satu sejarah besar yang penting di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas terutamanya dalam pelbagai bidang seperti pertahanan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan. Hubungan akrab ini akan terus dijadikan ristaan sejarah sebagai pemangkin dalam mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

    Ini dapat dilihat melalui beberapa siri keberangkatan yang lalu seperti Keberangkatan Negara Baginda Ratu Elizabeth II ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1972 dan 1998; dan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengadakan perjumpaan bersama Baginda Ratu Elizabeth II di Buckingham Palace pada 14 Disember 2017 serta menghadiri Majlis Her Majesty the Queen’s Dinner bagi meraikan ketua-ketua kerajaan yang menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di London pada 19 April 2018.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...