Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bali batal kuarantin, perkenal semula VOA

    DENPASAR, 7 MAC – Pulau peranginan terkenal Indonesia, Bali hari ini membatalkan kuarantin bagi pelancong yang divaksin dari lebih 20 negara dan memperkenalkan semula visa semasa ketibaan (VOA) ketika pulau itu mempercepatkan pembukaan semula selepas dua tahun sekatan COVID.

    Pelonggaran itu muncul ketika gelombang jangkitan Omicron reda di seluruh gugusan kepulauan negara Asia Tenggara itu dan selepas beberapa penerbangan antarabangsa menyambung semula penerbangan secara langsung dalam masa beberapa minggu kebelakangan ini.

    “Presiden Joko Widodo telah bersetuju untuk melaksanakan percubaan dasar bebas kuarantin bagi pelancong luar negara ke Bali bermula 7 Mac,” kata Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu taklimat ringkas.

    Pelancong akan dikecualikan daripada kuarantin jika sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan melakukan ujian PCR yang negatif serta perlu menunjukkan bukti tempahan hotel empat hari.

    VOA digantung dua tahun lalu apabila pandemik melanda Indonesia, namun ia sekali lagi akan tersedia bagi pelancong dari 23 negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Perancis. “Jika percubaan ini berjaya, kita akan laksanakan dasar bebas kuarantin kepada pelancong dari semua negara bermula 1 April atau lebih awal lagi,” tambah menteri itu.

    Gabenor Bali, Wayan Koster Jumaat lalu mengatakan reformasi adalah amat penting dalam usaha menghidupkan semula sektor pelancongan yang pernah menjadi sumber pendapatan terbesar pulau itu.

    Hampir 6.3 juta pelancong asing mengunjungi pulau majoriti Hindu itu dalam 2019, namun jumlah itu menjunam ketika Indonesia menutup sempadannya bagi melindungi diri daripada koronavirus. – AFP

    Pelancong antarabangsa memakai pelitup muka semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali, Indonesia pada Februari lalu. Indonesia membenarkan pelancong asing dengan dua dos vaksin memasuki Bali tanpa menjalani kuarantin dan memperkenalkan semula VOA. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...