Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Bantuan buku sekolah

    Saya agak terkilan melihat baru-baru ini ada anak-anak yang belum mempunyai buku sekolah yang mencukupi telah diambil gambar dan dimuat naik ke Whatsapp Group.

    Walaupun tiada anak saya yang terlibat, namun saya tumpang sedih melihat mereka diperlakukan sedemikian rupa.

    Saya faham murid-murid memerlukan buku untuk belajar. Namun, bukankah lebih baik sekiranya guru tersebut secara peribadi berhubung terus dengan ibu bapa atau penjaga murid-murid berkenaan? Jika guru tiada kelapangan masa, bolehlah minta guru pembantu untuk meringankan beban guru berkenaan, berbanding memuat naik perkara itu di kumpulan WhatsApp yang boleh dilihat oleh semua ibu bapa lain.

    Apa pun, nasi sudah menjadi bubur. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan supaya pihak sekolah mengambil inisiatif tambahan untuk mengenal pasti murid-murid yang memerlukan bantuan. Mungkin pihak sekolah boleh ‘menyewakan’ buku sekolah pada kadar yang rendah supaya murid-murid terbabit dapat menggunakan buku tersebut sepanjang pembelajaran dijalankan.

    Pada penghujung tahun, murid-murid perlu menyerahkan kembali buku-buku tersebut.

    Kedua-dua pihak perlu saling memahami dan bertolak ansur menangani masalah buku sekolah.

    Sekiranya buku rosak atau hilang, barulah murid-murid perlu membayar jumlah penuh sebagai pampasan atau denda kerana tidak menjaga harta sekolah dengan cermat.

    Berkenaan buku kerja (workbook), pihak sekolah mungkin boleh membenarkan murid-murid yang kurang berkemampuan untuk membuat fotokopi buku tersebut. Ini dapat menjimatkan lebih banyak wang berbanding membeli buku asal. Peraturan ini mungkin boleh terpakai kepada keluarga yang dalam kesusahan sahaja.

    Kementerian berkenaan juga boleh menyiasat perkara ini dan melakukan sesuatu mengenainya.

    Ingatlah, matlamat utama kita adalah untuk menuntut ilmu. Saya yakin guru itu tidak berniat mahu memalukan mana-mana pihak. Guru juga tidak lari daripada membuat kesilapan. Marilah kita sama-sama tetap kepada matlamat asal pendidikan iaitu untuk menjadi insan yang berilmu dan beramal.

    Bagaimana ingin menuntut ilmu tanpa ada cukup peralatan? Dan bagaimana ingin membeli buku jika tiada wang yang mencukupi? Maka, bertoleransilah, cari jalan penyelesaian supaya guru dapat mengajar dan murid-murid dapat belajar dengan tenang.

    Hide my name

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...