Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Beberapa permasalahan takbir az-zawaid Sembahyang Hari Raya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Dua

    Hukum sujud sahwi bagi sesiapa yang terlupa melakukan takbir az-zawaid

    Takbir az-zawaid ini ialah salah satu di antara sunat-sunat hai’ah dalam sembahyang seperti at-ta‘awwudz atau doa iftitah. Apabila tertinggal sama ada kerana lupa atau sengaja, maka tidak perlu dilakukan sujud sahwi. Namun makruh jika ditinggalkan sebahagian atau kesemuanya atau melebihi takbir tersebut.

    Beberapa permasalahan takbir az-zawaid

    Ada beberapa permasalahan yang berkaitan dengan takbir az-zawaid, iaitu:

    1. Ragu ketika melakukan takbir az-zawaid.

    a. Ragu bilangan takbir az-zawaid.

    Jika merasa ragu berapa bilangan takbir az-zawaid yang sudah dilakukan, maka hendaklah diambil kira bilangan yang sedikit dengan mengambil qiyasan dengan perkara ragu dalam bilangan rakaat sembahyang.

    b. Ragu takbir al-ihram ketika melakukan takbir az-zawaid.

    Jika seseorang itu sudah melakukan takbir az-zawaid sebanyak lapan kali termasuk takbir al-ihram, akan tetapi dia merasa ragu adakah dia melakukan salah satu dari lapan takbir itu takbir al-ihram, maka dalam perkara ini tidak sah sembahyangnya, kerana jika ragu pada takbir al-ihram maka seseorang itu dikira tidak melakukan takbir al-ihram tersebut, walaupun sudah melakukan lapan kali takbir.

    Suasana Hari Raya sentiasa dirasai kemeriahannya, sama ada Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha ketika ramai jemaah yang menghadiri sembahyang Sunat Hari Raya ke masjid-masjid dan surau-surau.
    Tidaklah membatalkan sembahyang jika terlupa atau sengaja tidak melakukan takbir az-zawaid ketika melakukan sembahyang Sunat Hari Raya, kerana ia hanyalah salah satu daripada perkara sunat hai’ah. – Gambar fail

    2. Terlupa melakukan takbir az-zawaid.

    Ada beberapa keadaan jika seseorang itu terlupa melakukan takbir az-zawaid, iaitu:

    a. Teringat takbir az-zawaid selepas membaca at-ta‘awwudz.

    Jika seseorang itu terlupa membaca takbir az-zawaid dan teringat selepas membaca at-ta‘awwudz, dia masih boleh melakukan takbir az-zawaid itu kerana masih dikira dalam waktu melakukannya walaupun sudah membaca at-ta‘awwudz.

    b. Teringat takbir az-zawaid semasa atau selepas membaca surah al-fatihah.

    Jika seseorang terlupa melakukan takbir az-zawaid dan ingat sebelum melakukan rukuk iaitu ketika membaca surah al-fatihah, walaupun belum selesai membaca surah al-fatihah, maka tidak perlu dia melakukan takbir az-zawaid itu kerana berlalu sudah waktu atau masa yang sepatutnya melakukan takbir tersebut. Namun jika dia mengulangi semula untuk melakukan takbir az-zawaid yang tertinggal itu tidaklah batal sembahyangnya.

    c. Teringat takbir az-zawaid semasa atau selepas melakukan rukuk.

    Jika seseorang terlupa melakukan takbir az-zawaid dan ingat semasa atau selepas melakukan rukuk, maka dalam hal ini tidak perlu kembali untuk melakukan takbir az-zawaid yang terlupa itu kerana jika seseorang itu berdiri untuk melakukan takbir az-zawaid itu, maka batallah sembahyangnya jika dia tahu bahawa berbuat demikian hukumnya adalah haram. Melainkan jika dia tidak tahu hukum berbuat demikian adalah haram, dalam keadaan ini tidaklah batal sembahyangnya.

    3. Takbir az-zawaid bagi imam dan makmum.

    Ada beberapa keadaan yang berkaitan dengan takbir az-zawaid yang berlaku kepada imam atau makmum, iaitu:

    a. Imam tidak melakukan takbir az-zawaid.

    Jika imam tidak melakukan takbir az-zawaid sama ada kerana sengaja atau terlupa, maka makmum juga hendaklah mengikut perbuatan imam dengan tidak melakukan takbir az-zawaid itu.

    Namun tidaklah batal sembahyang makmum jika dia melakukan takbir az-zawaid itu juga asalkan tidak mengangkat tangan tiga kali berturut-turut kerana perbuatan sedemikian boleh membatalkan sembahyang.

    b. Imam terlebih melakukan takbir az-zawaid.

    Jika imam terlebih melakukan takbir az-zawaid umpamanya sebanyak lapan kali pada rakaat pertama, maka makmum tidak boleh mengikut perbuatan imam melakukan takbir az-zawaid yang lebih itu kerana menyalahi tuntutan bilangan yang disunatkan iaitu sebanyak tujuh kali.

    c. Imam kurang melakukan takbir az-zawaid.

    Jika takbir az-zawaid yang dilakukan oleh imam itu kurang daripada bilangan yang disunatkan, umpamanya imam hanya melakukan enam kali takbir pada rakaat pertama atau empat kali pada rakaat kedua, maka dalam keadaan ini, makmum hendaklah mengikut perbuatan imam dan tidak perlu menambah bilangan takbir az-zawaid itu sekalipun bilangannya kurang.

    d. Takbir az-zawaid imam berlainan mazhab.

    Begitu juga jika makmum mengikut di belakang imam yang melakukan tiga atau enam kali takbir az-zawaid sahaja, umpamanya mengikut imam yang berlainan mazhab, maka makmum hendaklah mengikut bilangan takbir yang imam lakukan itu sahaja tanpa menambahnya.

    Bilangan takbir az-zawaid dalam setiap mazhab adalah tidak sama. Menurut mazhab Hanafi takbir az-zawaid dilakukan sebanyak tiga kali pada rakaat pertama dan rakaat kedua. Manakala menurut mazhab Maliki takbir az-zawaid dilakukan sebanyak enam kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua.

    Maka dalam perkara ini, apabila bersembahyang Hari Raya bersama imam yang bermazhab Hanafi atau Maliki, maka hendaklah mengikut bilangan takbir az-zawaid sebagaimana yang dilakukan oleh imam berkenaan.

    Sebagai contoh, jika takbir dilakukan tiga kali sebagaimana dituntut dalam mazhab Hanafi, maka hendaklah makmum juga melakukan tiga kali takbir. Begitu juga jika enam kali takbir dalam mazhab Maliki, maka hendaklah makmum juga melakukan enam kali, dan tidak boleh lebih atau kurang dari bila- ngan tersebut. Inilah yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab al-Majmu‘.

    e. Takbir az-zawaid bagi makmum yang masbuq.

    Makmum yang masbuq hanya perlu melakukan takbir az-zawaid yang sempat bersama imam sahaja. Umpamanya, pada rakaat pertama makmum tidak sempat melakukan tujuh kali takbir bersama imam, bahkan hanya sempat melakukan sekali takbir sahaja, maka makmum hanya perlu melakukan sekali takbir az-zawaid yang sempat bersama imam itu sahaja dan tidak perlu menambah bilangan takbir az-zawaid yang tertinggal itu.

    Manakala jika makmum yang masbuq itu hanya sempat mengikut imam di awal rakaat kedua dan sempat melakukan takbir az-zawaid bersama imam sebanyak lima kali, maka makmum tersebut juga sunat melakukan takbir az-zawaid itu sebanyak lima kali apabila dia berdiri menambah bilangan rakaat yang kurang itu selepas imam memberi salam.

    Sebagai kesimpulan, tidaklah membatalkan sembahyang jika terlupa atau sengaja tidak melakukan takbir az-zawaid ketika melakukan sembahyang sunat Hari Raya, kerana ia hanyalah salah satu daripada perkara sunat hai’ah. Namun selain hukum melakukan takbir az-zawaid adalah sunat hai’ah, perlu diketahui bahawa takbir az-zawaid juga merupakan syiar Hari Raya itu sendiri yang hanya dikerjakan pada sembahyang sunat Hari Raya sahaja dan tidak pada sembahyang sunat lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...