Sunday, April 28, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Bekas abu 8,000 mangsa perang Nazi ditemui

    DZIALDOWO, POLAND, 14 JULAI – Perkuburan besar yang mengandungi abu mayat bersamaan dengan 8,000 jiwa telah ditemui berhampiran dengan bekas kem tahanan Nazi di Poland, kata Institut Peringatan Negara Poland, kelmarin.

    Institusi berkenaan, menyiasat kes jenayah yang dilakukan semasa pendudukan Nazi ke atas Poland dan semasa era komunis, berkata bekas abu itu dijumpai berdekatan dengan kem tahanan Soldau, yang sekarang dikenali sebagai Dzialdowo, utara Warsaw.

    Nazi membina kem tersebut ketika menakluki Poland semasa Perang Dunia Kedua, menggunakannya sebagai tempat transit, tahanan dan sebagai tempat untuk membunuh orang Yahudi, pesaing politik dan ahli elit politik Poland. Menurut anggaran, jumlah banduan yang terbunuh di Soldau adalah sebanyak 30,000 tetapi jumlah sebenar tidak pernah diketahui.

    Penemuan ngeri kira-kira 17.5 tan abu manusia bermakna ia boleh dikatakan sekurang-kurangnya 8,000 orang maut di tempat itu, menurut penyiasat Tomasz Jankowski.

    Anggaran itu dibuat berpandukan keberatan bekas abu tersebut, dengan berat dua kilogram secara kasar bersamaan dengan satu mayat.

    Mangsa dikuburkan dalam perkuburan besar, di mana mereka dibunuh sekitar tahun 1939 dan kebanyakannya adalah daripada golongan elit Poland, kata Jankowski. Pada 1944, pihak berkuasa Nazi mengarahkan tahanan Yahudi untuk mengali mayat dan membakarnya bagi tujuan menghapuskan bukti jenayah perang.

    Penyelidik genetik di Universiti Perubatan Pomeranian, Andrzej Ossowski, memberitahu AFP bahawa sampel daripada abu tersebut telah pun dibawa dan akan dikaji di makmal.

    “Kami boleh melakukan analisis DNA, yang membolehkan kita mengetahui lebih lanjut mengenai identiti mangsa,” tambahnya, berikutan kajian yang sama di bekas kem Nazi di Sobibor dan Treblinka. – AFP

    Imej bangunan tersebut menunjukkan bekas kem tahanan Nazi di Soldau, Dzialdowo, Poland yang berdekatan dengan tapak di mana abu mayat berkenaan dijumpai. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...