Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Bekas jurutera marin bina campertruck buatan M’sia

    KUALA LUMPUR – Kira-kira empat tahun lepas dengan hanya sekadar mencuba membaik pulih pelbagai kenderaan rekreasi (RV) telah mendorong seorang ahli perniagaan, Shamsul Rosli mengembangkannya dengan menubuhkan sebuah kilang bagi memenuhi permintaan industri itu yang semakin mendapat tempat.

    Dikenali sebagai Camperv M dan terletak di Seremban, Negeri Sembilan, kilang itu menyediakan kepakaran dan khidmat profesional untuk membaik pulih, mereka cipta, mengubah suai pelbagai model kenderaan RV seperti karavan, campervan dan motorhome yang diimport dari luar negara.

    Lebih membanggakan, usaha yang dilakukan secara komersial sejak setahun itu juga telah membolehkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) diubah suai menjadi sebuah campertruck, antara kilang yang terawal di dalam negara yang berkeupayaan melakukannya.

    Berkongsi kejayaan itu kepada Bernama baru-baru ini, Shamsul yang juga bekas jurutera marin itu berkata sebelum membuka bengkel, beliau ‘terbang’ ke United Kingdom (UK) semata-mata untuk membeli dan mempelajari selok-belok bagi memiliki sebuah karavan yang diimpikan.

    “Di UK, saya beli sebuah van Mercedes-Benz Sprinter WB yang kosong untuk diubah suai dijadikan karavan. Pada masa sama, saya juga melawat ke beberapa kilang bagi mempelajari kaedah pembuatan karavan dengan mereka yang pakar di sana.

    Pekerja Camperv M melakukan pengubahsuaian pada sebuah kenderaan mengikut kehendak dan permintaan pelanggan ketika tinjauan Bernama. Usaha yang dilakukan secara komersial itu juga telah membolehkan kenderaan 4WD diubah suai menjadi campertruck dan ia merupakan antara kilang yang terawal di Malaysia yang berkeupayaan melakukannya. – Bernama
    Reka bentuk ruang tidur di sebuah campertruck yang kelihatan moden dan mewah selepas pengubahsuaian yang dilakukan oleh Camperv M ketika tinjauan Bernama di kilangnya baru-baru ini. – Bernama

    Ahli perniagaan Shamsul Rosli (kiri) dan rakannya Aideel Ezuan Rashidi (kanan) bergambar bersama campertruck ketika ditemui di kilang tersebut, baru-baru ini. – Bernama

    “Selepas membawanya pulang ke Malaysia, terdetik di fikiran yang merasakan ada perkara lagi yang masih tidak memuaskan dengan karavan saya beli seperti di dalam kabinnya tiada ruang solat walaupun sudah dilengkapi katil, dapur dan tandas.

    “Jadi bermulalah idea untuk saya ‘DIY’ karavan saya. Secara tak sengaja, inovasi saya yang lebih mesra Muslim itu mendapat perhatian khususnya peminat RV tempatan, apatah lagi ketika itu memang sukar dan tiada individu yang mahir membaik pulih kenderaan jenis ini,” katanya.

    Anak jati Mantin itu berkata kilangnya berkeupayaan untuk menawarkan perkhidmatan membaik pulih kenderaan RV dari segi sistem pendawaian elektrik dan penyaman udara selain mereka bentuk dalaman dan luaran kabin RV serta turut dibantu oleh empat petugas berkemahiran yang lain.

    Setakat ini, lebih 80 pelbagai jenis RV yang telah berjaya dibaik pulih, diubah suai mengikut cita rasa dan kehendak pemilik kenderaan tersebut, katanya.

    Mengulas lanjut, Shamsul berkata kebanyakan peralatan RV seperti tandas, penyaman udara atas bumbung serta peralatan elektrik seperti ketuhar, peti ais dan seterika yang menggunakan elektrik 12 volt diimport dari luar negara.

    Berkongsi mengenai campertruck yang kini menjadi pilihan berbanding dengan model kenderaan RV lain, Shamsul berkata hanya tiga negara di dunia iaitu Australia, China dan Thailand yang menghasilkan RV jenis itu dan kini Malaysia juga mampu berbuat demikian hasil reka cipta anak tempatan.

    “Campertruck kini semakin mendapat tempat kerana pemanduannya adalah auto, lebih praktikal di semua jenis permukaan jalan dan penyelenggaraannya lebih mudah,” katanya yang telah menghasilkan 10 campertruck menggunakan aluminium sebagai bahan utama untuk pembuatan struktur kabinnya. 

    Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automatif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Yusop Mohamad berkata sebarang ubah suai atau kreativiti hendak dilakukan ke atas kenderaan termasuk van, 4WD adalah dibenarkan dengan membuat permohonan dengan jabatan itu.

    Mohd Yusop berkata pemilik kenderaan boleh mendapatkan khidmat nasihat jurutera profesional yang berdaftar dengan JPJ untuk dibuat Pelan Teknikal Kenderaan yang merangkumi aspek mekanikal dan elektrikal.

    “Jurutera profesional tersebut juga akan memastikan aspek kestabilan, keselamatan dan kualiti bahan binaan selaras dengan standard piawaian yang ditetapkan oleh JPJ. Pelan Teknikal ini juga akan disemak oleh Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Ibu Pejabat di Putrajaya.

    “Setelah Pelan Teknikal Kenderaan berkenaan diluluskan, kerja ubah suai hendaklah dibuat di mana-mana 291 bengkel kejuruteraan yang berdaftar dengan JPJ di seluruh negara,” katanya.

    Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Emirol Rashid berkata industri RV semakin popular kerana ia satu daripada gaya hidup kepada mereka yang gemar mengembara dan berkelah bersama keluarga.

    Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira lebih 2,000 pemilik RV di seluruh negara dengan kos bermula RM40,000 ke atas bergantung kepada bajet dan kemahuan sama ada ubah suai van yang kosong atau import dari luar negara yang baharu atau terpakai. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...