Friday, May 10, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Bekas wartawan kongsi pengalaman alami gangguan kesihatan mental melalui buku

    CYBERJAYA – Pernah mengalami gangguan kesihatan mental yang agak teruk mendorong seorang bekas wartawan menghasilkan sebuah buku untuk berkongsi pengetahuan kepada umum yang mungkin berdepan masalah sama.

    Maliah Surip, 42, berkata buku Senandika: Bercakap Seorang Diri yang dihasilkan selama tiga bulan menyusuri kehidupannya yang didiagnosis dengan penyakit General Anxiety Disorder (GAD), Panic Attack (serangan panik) dan Social Anxiety Disorder (SAD) serta Major Depressive Disorder (MDD) pada 2019.

    Beliau berkata penyakit itu tercetus kerana kebimbangan melampau susulan mimpi buruk yang dialaminya sewaktu menunaikan ibadah umrah kira-kira 10 tahun lepas, tanpa menyedari dirinya sebenarnya trauma dengan kejadian itu.

    “Sikap suka menyimpan dalam hati dan tidak meluahkannya menyebabkan trauma itu menghantui diri dan daripada situlah penyakit ini berkembang tanpa disedari,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran buku itu yang dirasmikan penghibur ternama tanah air, Datuk Amy Search dan Misha Omar di DXN Cyberville, baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun itu berkata masalah berkenaan hanya disedari selepas menjalani ujian kendiri Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) menerusi satu program yang dianjurkan di pejabatnya. “Ingatkan sikap saya yang suka menyendiri di dalam bilik, berasa rendah diri, takut dan tak mahu jumpa dengan orang lain adalah kerana malas dan anggapnya sebagai normal, namun tak sangka pula ia sebenarnya merupakan masalah kesihatan mental,” katanya.

    Sedikit demi sedikit, anak kelahiran Johor Baharu ini mula mengalami pelbagai simptom antaranya degupan jantung yang sangat laju dan tidak boleh tidur lena selain pernah cuba menghilangkan diri daripada radar sekeliling serta timbulnya perasaan untuk mengakhiri hidup.

    “Ketika itu, suami, Abdul Razak Latif dan anak-anak sedar ada sesuatu yang tidak betul pada saya. Saya tak pedulikan rumah tangga, tak boleh bangun pagi, tak siapkan anak-anak sebaliknya saya hanya baring di atas katil, tak makan dan tak tidur selama dalam tempoh sakit,” katanya.

    “Namun, saya bersyukur pada waktu getir itu, saya sentiasa ditemani suami dan anak-anak. Alhamdulillah, suami sangat menyokong, sepanjang saya sakit, Saya bernasib baik kerana ada sistem sokongan yang sangat kuat termasuklah ibu bapa, yang boleh menerima saya seadanya,” katanya. – Bernama

    Maliah Suripberkata buku Senandika: Bercakap Seorang Diri yang dihasilkan selama tiga bulan menyusuri kehidupannya yang didiagnosis dengan penyakit General Anxiety Disorder, Panic Attack dan Social Anxiety Disorder serta Major Depressive Disorder. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...