Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Bengkel dan dialog meriahkan Minggu Tindakan Iklim

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Sebagai sebahagian daripada Minggu Tindakan Iklim, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022, dialog
    dan bengkel telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Pada sebelah pagi, sesi dialog bersama belia telah diadakan yang dihadiri oleh 30 wakil belia yang terdiri daripada tenaga pengajar dan penuntut.

    Dialog yang menyentuh mengenai peranan belia terhadap tindakan iklim itu menampilkan Presiden Majlis Belia Brunei (MBB), Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga presiden Green Brunei; wakil belia dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), Zoe Chan Zhi Yi yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif

    Growth Brunei; Pegawai Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Awang Muhd Fakhrurazi bin Haji Salleh dan ahli biologi marin, Emily Yong selaku setiausaha Reef Check Brunei.

    Dialog berkenaan antara lain menyentuh mengenai cara bagaimana sesebuah negara boleh mengurangkan kesan perubahan iklim serta cara untuk membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap perubahan tersebut.

    Awang Ahmad Zaiemaddin semasa menyampaikan pengenalan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

    Manakala itu, pada sebelah petang, bengkel Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) diadakan yang membincangkan tentang ‘Pemerkasaan Belia dalam Tindakan Iklim’.

    Bengkel tersebut dimulakan dengan pengenalan mengenai Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) yang disampaikan oleh Ketua Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Awang Ahmad Zaiemaddin bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.

    Beliau antara lain menyentuh mengenai Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang merupakan pusat ASEAN pertama yang dihasratkan dapat dijadikan sebagai medan ilmu dan penyelidikan.

    Kemudian, bengkel diteruskan lagi dengan pembentangan mengenai Youth Empowerment in Climate Action Platform (YECAP) and Movers yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pham Dinh Long dari UNDP.

    Bengkel anjuran MBB dan ASEAN Youth Advocate Network (AYAN) itu diakhiri dengan penyampaian sijil oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Minggu Tindakan Iklim, Brunei MYCE 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...