Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bersatu padu pelihara bumi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Setiap tindakan individu memberikan kesan yang besar dalam memelihara kedayatahan bumi.

    “Kita telah pun menyaksikan pada masa kini, kerosakan alam sekitar, pencemaran udara dan air serta impak negatif perubahan iklim hasil aktiviti-aktiviti yang kita lakukan, telah memberi kesan yang mendalam terhadap ekonomi global.

    “Oleh itu, sudah tiba masanya bagi setiap pihak, sama ada kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan mahupun orang ramai berganding bahu untuk mengalihkan tumpuan dan menggembleng tenaga yang lebih kepada membina masa hadapan yang sihat dan mampan untuk generasi akan datang selamat mendiami bumi kita.”

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Bumi 2022.

    Beliau menyatakan lagi bahawa tindakan secara kolektif yang menjurus kepada pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar perlu dilaksanakan melalui pelaburan dalam bumi dengan menggalakkan semua individu untuk mengamalkan tabiat mesra alam.

    Perubahan dalam tabiat para pengguna ke arah cara hidup yang lebih hijau akan perlahan-lahan mengalihkan permintaan di pasaran untuk menyokong cara hidup baharu itu.

    “Oleh yang demikian, ia akan lebih mempercepatkan peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau dan pada masa yang sama, berpotensi untuk mengadaptasi pelaburan yang mampan dan mesra alam.”

    Tambahnya lagi, “Semua tindakan ini dapat dicapai apabila seluruh penduduk di ne-gara ini bersatu padu dan bekerjasama dalam memelihara bumi kita.”

    Salah satu cara mudah untuk membuat pelaburan yang hijau ialah dengan mengurangkan sisa buangan yang kita hasilkan dan mengelakkan daripada menggunakan barangan sekali guna. Dalam hubu-ngan itu, pada 2022, jelasnya, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah menjalankan kempen media sosial iaitu Kempen Eco Ramadan bersama JASTRe buat kali kedua.

    Selaras dengan tema Hari Bumi 2022, kempen pada tahun ini melibatkan beberapa pihak yang berkepentingan dari agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pengusaha-pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan seluruh negara.

    Yang Berhormat Dato berkata, “Dengan kerjasama Zero Waste Brunei, kempen tahun ini yang bertemakan ‘Bawa Barang Guna Semula Saya Sendiri’ memfokuskan usaha pada melabur dalam bumi kita dengan mendorong penggunaan barang yang boleh diguna semula dan beralih kepada produk yang lebih mampan dan mesra alam.”

    Di samping itu, beliau berkata bahawa pelbagai aktiviti telah disusun seperti Kempen Melaratkan Inistiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik ke gerai-gerai Ramadan bersama agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta, cabaran media sosial Reusables in Ramadan dan Aim For Low Waste, kuiz-kuiz interaktif serta tip untuk memulakan tabiat mesra alam.

    Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato berkata Sambutan Hari Bumi 2022 membawa tema ‘Melabur dalam Bumi Kita’ yang membawa pengertian bahawa sudah tiba masanya untuk setiap penghuni di muka bumi ini bersatu padu dalam memelihara dan melindungi kesihatan, keluarga dan kehidupan kita dengan melabur dalam kesejahteraan bumi kita kearah mencapai masa hadapan yang lebih hijau, makmur dan mampan.

    Yang Berhormat Dato menyatakan harapan dengan adanya pendekatan yang dilaksanakan itu, dapat memberikan sedikit inspirasi kepada semua untuk menilai semula gaya hidup masing-masing dan memulakan serta membudayakan tabiat-tabiat hijau terutamanya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta membuat perubahan kepada yang lebih baik ke arah menjaga dan melindungi bumi Darussalam yang kita semua sayangi dan hargai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...