Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    BIBD, CSB, BruCERT lancar kempen kesedaran keselamatan siber

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah memulakan kempen kesedaran keselamatan siber selama 12 bulan dengan kerjasama Cyber Security Brunei (CSB) dan BruCERT.

    BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan, kempen itu bermatlamat untuk memupuk kesedaran mengenai ancaman siber dan memperkasa orang awam untuk lebih selamat dan terjamin dalam talian.

    Ketua Pegawai Maklumat BIBD, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli dipetik berkata, “Pandemik COVID-19 telah membawa kepada lebih banyak aktiviti harian dilaksanakan secara dalam talian, oleh itu kini lebih penting untuk sedar dan mengamalkan amalan keselamatan siber yang baik.”

    Beliau menambah, “BIBD memandang serius keselamatan dalam talian. Ia adalah dan telah menjadi keutamaan agenda kami. Bagaimanapun, kami melihat ancaman-ancaman dalam talian kini menjadi lebih rumit dan kerap berevolusi.

    “Oleh itu, kami ingin menyediakan maklumat yang diperlukan bukan sahaja kepada pelanggan kami malah orang awam mengenai bagaimana sentiasa selamat dan dilindungi daripada ancaman-ancaman dan penipuan dalam talian,” ujar beliau lagi.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Interim CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis berkata bahawa kerjasama dengan BIBD itu adalah salah satu daripada beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh agensi keselamatan siber kebangsaan itu dan akan terus dilaksanakan bersama organisasi-organisasi lain, dalam usahanya untuk menyemai budaya kesedaran keselamatan dalam kalangan orang awam.

    “Sektor perbankan dan kewangan adalah salah satu daripada infrastruktur maklumat penting yang sangat disasarkan oleh jenayah siber, sama ada semasa pandemik atau tidak.

    Dengan BIBD, kami bekerjasama ke arah bukan sahaja persekitaran perbankan digital lebih selamat untuk pelanggannya dan konstituen khususnya malahan ke arah kebersihan siber yang lebih baik dalam kalangan penduduk amnya,” tambah beliau.

    Menurut BIBD, kempen kesedaran BIBD, CSB dan BruCERT akan menggunakan media sosial untuk mendidik orang awam mengenai topik-topik berkaitan seperti bagaimana untuk kekal selamat ketika bekerja dari rumah, beli-belah dalam talian, amalan-amalan terbaik apabila memilih kata kekunci dan menggunakan media sosial serta kesedaran mengenai ancaman siber berlainan seperti phishing, smishing dan serangan-serangan sosial.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...